“SAYA reda dan halalkan.” Itu kata-kata aktres bertaraf ‘otai’, Wan Maimunah mengenai isu bayaran RM200 bagi sebuah drama terbitan sebuah produksi tempatan yang hangat diperkatakan sebelum ini.
Sebenarnya, berat hati pelakon ‘air mata’ ini untuk kembali mengulas mengenai perkara itu.
Jauh di sudut hatinya sudah menghalalkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu.
Pintanya, diari episod derita itu, dinoktahkan. Meskipun disakiti, dia hanya mampu berserah dan menerima ketentuan Allah, seadanya.
“Memang saya sedih kerana diperlakukan sebegitu rupa. Kerana, bukan sahaja pernah ditawarkan bayaran rendah, malah langsung tidak dibayar, juga pernah.
“Kalau boleh, kita tutup cerita. Saya reda. Sesungguhnya, ini semua harta dunia. Saya percaya, Allah telah sediakan rezeki lain untuk saya.
“Kalau dulu, ya, saya kata, saya tidak akan halalkan. Tapi Allah sayang dan saya diberikan hidayah. Mudahkan reda saya.
“Kita tidak boleh jangka soal rezeki. Bila saya diuji begini, Allah beri saya rezeki lain. Bila makan di restoran, ada peniaga yang tidak ambil bayaran saya. Dan ketika di Mekah baru-baru ini, orang sedekah banyak benda untuk saya. Benarlah, rezeki yang Allah janjikan tak pernah salah alamat,” katanya.
Kata Wan Maimunah, dalam berlapang dada, dia tetap berharap agar pihak terbabit diberikan petunjuk yang menjentik rasa bersalah atas perbuatan mereka.
“Doa saya agar mereka diberi hidayah. Diharapkan timbul rasa bersalah atas perbuatan mereka,” katanya.
DOA DI TANAH SUCI
Begitu teruja pelakon berusia 67 tahun ini apabila bercerita mengenai pengalaman mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.
Wan Maimunah meluahkan rasa lega kerana setiap urusannya di Tanah Suci dipermudahkan Allah.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa besar nikmat ketika berada di sana. Sampai sekarang saya pendam kerinduan kepada Mekah.
“Alhamdulillah, urusan saya dipermudah. Cuma mengalami batuk biasa ketika hendak pulang ke Mekah dari Madinah.
“Allah turunkan pelbagai rezeki ketika saya berada di sana. Setiap hari ada sahaja insan baik bersedekah kepada saya. Sampaikan terpaksa saya beli beg tambahan untuk muatkan baju, tudung, telekung dan makanan pemberian orang.
“Seronoknya tak terkata. Kita, kalau dijemput sebagai tetamuNya, orang macam mana sekalipun kita, mesti ada tempat di sana. Saya minta, kalau ada peluang, saya mahu lagi ke sana,” jelasnya.
Dalam kesempatan kami berbual, sempat saya tanyakan doakan yang dipanjatkan seorang Wan Maimunah di Tanah Suci. Katanya, banyak doa yang dia panjatkan, termasuklah untuk kesejahteraan semua Muslimin dan Muslimat.
“Tinggal di Mekah lebih satu bulan, mintalah apa sahaja yang kita hajatkan. Jadi, saya tidak lupa doa untuk keharmonian negara kita. Itu mungkin ramai yang lupa.
“Itu antara doa yang saya panjatkan. Saya kenang bagaimana nasib cucu cicit saya nanti. Saya pun sudah lanjut usia, berapa lama lagi saya akan hidup.
“Dan saya selalu minta agar saya meninggal dunia dalam khusnul khotimah. Mudah Mudahan,” katanya menahan sebak.
AMBIL TEMPOH BERTENANG
Wan Maimunah memaklumkan secara baik menolak beberapa tawaran berlakon sebaik tiba di tanah air selepas lama berada di Mekah.
Bukan mahu bersikap sombong, pemenang lima kali Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ini memaklumkan dia perlu tempoh bertenang sebelum aktif semula dalam dunia lakonan.
“Ada beberapa tawaran daripada stesen televisyen yang terpaksa saya tolak. Bukan saya langsung tak mahu berlakon, cuma saya mahu berehat seketika.
“Luka di hati kerana isu bayaran masih berdarah. Biarlah saya rawat dahulu kekecewaan itu.
“Buat masa ini saya ambil tempoh bertenang. Ada juga sedikit membuat kerja review produk tapi tidaklah banyak. Ada pun, sebelum terima, saya kaji dulu produk itu, ada atau tidak kelulusan Kementerian Kesihatan. Saya tidak mahu tipu orang dengan membuat review produk yang tidak selamat digunakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Maimunah juga memaklumkan dia sering sibukkan diri dengan kerja-kerja amal dalam mengisi masa terluang.
“Selalu ikon Sekolah Kebangsaan Desa Aman, saya banyak menyertai aktiviti amal, termasuk kerja-kerja kebajikan yang sekolah anjurkan.
“Yang terbaru, saya turut serta cari penderma untuk mengumpul dana bagi menaik taraf surau di sekolah tersebut.
“Selain itu, saya juga sempat turun padang, hiburkan penduduk setempat yang terkesan akibat bencana banjir,” kongsinya.