LRA Sungai Rasau: Pemaju, kontraktor perlu bertanggungjawab - Utusan Malaysia

LRA Sungai Rasau: Pemaju, kontraktor perlu bertanggungjawab

LRA Sungai Rasau
PROJEK pembinaan LRA Sungai Rasau sedalam hampir 20 meter ditenggelami air selepas tebingnya runtuh sehingga menyebabkan limpahan air dari lombong bersebelahan membanjiri kawasan tersebut berhampiran Taman Mas, di Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarikat pemaju dan kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau perlu bertanggungjawab sekiranya runtuhan didapati berpunca daripada kelemahan struktur.

Bagaimanapun, tindakan lanjut hanya boleh diputuskan apabila laporan terperinci insiden runtuhan tebing di tapak projek LRA tersebut diperoleh termasuk keputusan untuk meneruskan pembinaannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri melalui Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim sudah pun meninjau tapak LRA tersebut dan punca kejadian serta nilai kerugian sedang disiasat.

“Kalau ia melibatkan kelemahan struktur yang dibina oleh pemaju berkenaan atau kontraktor yang diberi tanggungjawab (kos kerosakan akan ditanggung pemaju atau kontraktor). Saya rasa setiap projek ada insuran.

“Jika ada perlindungan (insuran) kerosakan (kos kerugian dibayar pihak syarikat insuran) disebabkan pembangunan (di lokasi kejadian tersebut),” katanya selepas ketika ditemui selepas merasmikan Akademi Bateriku.com, hari ini.

Kelmarin, tebing galian LRA Sungai Rasau sedalam hampir 20 meter yang dibina di bawah projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) runtuh sehingga mengakibatkan ia ditenggelami limpahan air dari bekas lombong bersebelahannya.

Bagaimanapun, insiden tersebut tidak menyebabkan kehilangan nyawa berikutan tindakan pantas siren kecemasan dibunyikan bagi member amaran kepada semua pekerja yang sempat meninggalkan tapak pembinaan tersebut.

Susulan itu, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dilapor akan melakukan siasatan komprehensif bagi mengenal pasti punca kejadian.

Izham memaklumkan, laporan lengkap untuk mengenal pasti punca insiden tersebut akan diterima dalam masa tiga bulan melibatkan konsultan dilantik yang mempunyai kepakaran bidang berkaitan.

Sementara itu, mengulas mengenai Akademi Bateriku.com, Amirudin memaklumkan institusi latihan tersebut mampu menjadi pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang automotif untuk anak Selangor.

“Menariknya, akademi itu bukan sahaja sebagai pusat pendidikan untuk peningkatan kemahiran atau ‘reskilling’ kakitangan, sebaliknya ia juga membuka peluang kepada bukan kakitangan untuk belajar di sini.

“Bateriku.com yang berusia 10 tahun membangunkan prasarana dan peralatan bernilai RM500,000. Itu adalah peluang terbaik untuk berkolaborasi yang mana kita memiliki dana ikhtisas sebanyak RM15 juta bagi tujuan latihan kemahiran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya