Lori tiba-tiba buat pusingan U, penunggang motosikal nyaris maut

Lori tiba-tiba buat pusingan U, penunggang motosikal nyaris maut

LORI tiba-tiba buat pusingan U, penunggang motosikal nyaris maut di Dengkil, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEPANG: Seorang penunggang motosikal bernasib baik apabila hanya cedera ringan selepas terbabit dalam dua insiden kemalangan di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 9 pagi di kilometer (KM) 48.7 Lebuhraya Cyberjaya (Dengkil) – Puchong itu, mangsa berusia 27 tahun sebelum itu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang tiba-tiba membuat pusingan U.

Akibat rempuhan itu, mangsa bersama motosikalnya terbabas ke kanan jalan sebelum dirempuh pula sebuah kereta jenis Perodua Axia yang datang dari arah sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan ketika dihubungi berkata, akibat dua insiden, mangsa hanya mengalami cedera ringan, luka dan calar di tangan serta kepala.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sebuah lori jenis Isuzu yang dipand di lorong kiri jalan tiba-tiba membelok dan cuba membuat pusingan U di laluan keluar dari sebuah stesen minyak.

“Penunggang motosikal cuba mengelak namun kerana jarak yang dekat mangsa telah terlanggar bucu belakang sisi kanan lori itu.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat ke atas pemandu lori berkenaan sebaliknya hanya dirakam keterangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan sebuah lori tiba-tiba membuat pusingan U di susur keluar sebuah stesen minyak sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal.

Rakaman yang dikongsi sebuah akaun di laman X bernama #updateInfo itu turut memaparkan pemandu lori berkenaan dilihat beredar dari lokasi insiden selepas kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN