Lokman kekal bebas tuduhan sebar berita palsu berkaitan vaksin

Lokman Adam kekal bebas tuduhan sebar berita palsu berkaitan vaksin

LOKMAN Noor Adam tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya daripada pertuduhan berkaitan Covid-19. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kekal dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman sosial berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin, tiga tahun lalu.

Perkara itu ditentukan selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badiuszaman Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pihaknya menarik balik rayuan terhadap Lokman Noor.

“Pihak pendakwaan menerima arahan untuk menarik balik rayuan terhadap responden,” ujarnya pada prosiding sebutan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.

Peguam Logen Eskandar Abdullah tidak membantah perkara tersebut. Mahkamah kemudian melapangkan tarikh sebutan yang dijadualkan pada 15 Oktober ini.

Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Lokman Noor, 51, daripada pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman sosial Facebook melalui rakaman audio visual berhubung kematian seorang pegawai polis akibat vaksin.

Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil ‘Lokman Adam’ dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.38 malam, 9 April 2021.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 8.55 malam, 11 April 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2023, seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan. Pihak pendakwaan memfailkan rayuan pada Jun 2023.

Pada 7 November 2023, Ketua Sekretariat Media Perpaduan itu turut dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap satu lagi pertuduhan menyebar berita palsu melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19.

Penyebaran melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei 2021.

Rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei 2021.

Pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya