KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada sebelum memutuskan untuk bertanding di bawah logo atau lambang apa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew berkata, mereka akan mempertimbangkan semua pilihan namun, ia bergantung kepada keputusan setiap parti di dalam PH.
Pada PRN lepas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih kekal menggunakan logo PKR semasa bertanding. Hanya Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di bawah logo Parti Warisan (Warisan).
“Masih terlalu awal untuk pertimbangkan. Pada masa ini, kita bekerjasama dengan semua parti untuk memberi khidmat kepada rakyat. Keutamaan kami adalah berkhidmat kepada rakyat. Soal kerjasama dengan parti lain dan tanding guna logo mana, itu kemudian,” katanya semasa merasmikan Bengkel Hala Tuju Pengurusan Sungai-Sungai di Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai cadangan Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang mahu semua parti dalam GRS bertanding menggunakan satu logo.
Christina berkata, beliau percaya langkah penyelesaian terbaik adalah bekerjasama agar peluang untuk menang itu jauh lebih besar.
Katanya, perkara berkaitan logo bergantung kepada pendirian parti jadi, biarlah keputusan dibuat oleh kepimpinan parti.
Mengenai keperluan parti Malaya bertanding pada PRN Sabah, beliau berpegang kepada pendirian bahawa kuasa mengundi di tangan rakyat.
“Jadi, tidak kira parti tempatan atau parti nasional, apa yang penting kerjasama untuk mencapai kapasiti maksimum demi rakyat.,” katanya.
Christina berkata, sekiranya ingin mencapai kapasiti perkhidmatan yang maksimum maka, mereka tidak boleh bekerja secara sendirian.
“Jika dilihat, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga mempunyai wakil menteri di peringkat Persekutuan begitu juga dengan PH. Rakyat mahu calon yang boleh berkhidmat dan membawa suara mereka di peringkat Persekutuan,” katanya. – UTUSAN