LKIM sedia 1,500 tan metrik ikan sejuk beku

LKIM sedia 1,500 tan metrik ikan sejuk beku

MUHAMMAD Faiz Fadzil (kanan) meletakkan batu asas sebagai simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu PNK Besut sempena Program Ramah Mesra Madani di Kuala Besut, Besut, semalam. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan 1,500 tan metrik ikan sejuk beku untuk menampung bekalan di pasaran seluruh negara pada musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM telah mewujudkan pusat pengumpulan stok ikan yang dilengkapi bilik sejuk beku di beberapa negeri bagi memastikan bekalan bahan mentah itu mencukupi pada musim tengkujuh itu.

Menurutnya, antara jenis ikan yang disimpan di pusat pengumpulan itu adalah seperti ikan kembung, selayang, cencaru dan tongkol yang dikenali sebagai ikan rakyat.

“Persatuan Nelayan Kuala Besut turut menyimpan 150 tan metrik ikan sejuk beku untuk menampung keperluan pada musim tengkujuh nanti,” kata­nya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut sempena Program Ramah Mesra Madani di Kuala Besut di sini, semalam.

Selain itu, Muhammad Faiz memberitahu, beberapa syarikat pemborong ikan juga akan mengimpot ikan dari luar negara untuk meningkatkan jum­lah bekalan ikan pada mu­sim banjir ini.

“Jumlah ikan yang mencukupi di pasaran juga dapat mengelakkan berlaku kenaikan harga ikan sehingga membebankan pengguna pada musim tengkujuh,” katanya

Dalam pada itu, beliau menambah, sebuah kilang air batu baharu yang bernilai RM3 juta akan dibina di Kuala Besut.

Katanya, kilang air batu baharu yang menggunakan sistem blok ais itu dapat untuk menampung permintaan air batu kira-kira 600 nelayan dan peniaga ikan di daerah ini.

Tambahnya, PNK Besut mem­punyai kilang air batu telah beroperasi semenjak tahun 2014 dengan kapasiti 53 tan dengan pengeluaran sebanyak 390 blok sehari.

“Kedua-dua kilang ais batu itu selepas ini akan dapat menghasilkan sebanyak 764 blok air batu sehari bagi kegunaan bot-bot nelayan di daerah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN