Liwat hanya satu atau dua kes sahaja tapi tangkap 402 orang - GISB

Liwat hanya satu atau dua kes sahaja tapi tangkap 402 orang – GISBH

GISBH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengakui ada kejadian liwat seperti disiasat polis membabitkan penghuni rumah amal kendalian GISBH namun cuma satu atau dua kes sahaja.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali berkata, tindakan polis menyaring 402 penghuni rumah amal itu tanpa perbincangan terlebih dahulu tidak wajar.

Menurut beliau, malah dakwaan terdapat kanak-kanak disuruh meliwat termasuk pelbagai tuduhan lain termasuk penyediaan ‘air berkat’ adalah tidak berasas dan amat jijik.

“Tindakan pihak berkuasa melakukan saringan dan keterangan terhadap keseluruhan 402 kanak-kanak adalah tidak wajar.

“Memang liwat itu ada tapi satu dua (kes), kenapa dirangkumkan semua hasil itu. Malah kata berlaku memperdagangkan manusia, mengeksploitasi kanak-kanak,” kata beliau menerusi Facebook hari ini.

Selain itu, kata beliau, pihaknya kesal dan sedih dengan tuduhan tanpa bukti sehingga menerima kecaman serta tohmahan masyarakat terutama di media sosial.

Beliau mendakwa tuduhan itu sebagai fitnah yang mahu menjatuhkan perniagaan syarikatnya yang memperjuangkan produk Islam dan mempunyai 20 cawangan rumah amal.

Justeru, Nasiruddin berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat peguam bagi memperjuangkan kebenaran dan menuntut keadilan.

“Bukan saya mahu meraih simpati tapi kita sebagai orang Islam dalam negara Islam yang mempunyai masyarakat perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kenapa berlaku macam ini, malulah kita dengan orang bukan Islam apabila kita sesama Islam berbalah sedangkan ia boleh dirunding,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nasiruddin juga berharap masyarakat dapat membantu pihaknya membayar peguam dalam isu ini.

“Saya mengharapkan tuan puan tolonglah kami untuk bayar peguam, saya tidak malu minta.

“Kita lawan demi kebenaran dan kita nak tunjukkan kebenaran. Kenapa semudah itu (tuduhan) dibuat tanpa berunding, kami tidak menyakitkan orang dan ini sangat sedih,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN