Literasi digital lemah, kerugian jenayah dalam talian dikhuatiri cecah RM1 bilion - Utusan Malaysia

Literasi digital lemah, kerugian jenayah dalam talian dikhuatiri cecah RM1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Tahap literasi digital yang lemah antara punca jenayah dalam talian terus meningkat dan dikhuatiri angka kerugiannya mencecah RM1 bilion pada hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sehingga Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 18,660 kes jenayah dalam talian melibatkan kerugian keseluruhan RM758.4 juta.

“Jika kita tidak menjadi lebih literasi digital atau celik digital, saya percaya jumlah ini akan terus meningkat dan ini memang merupakan satu trend yang cukup membimbangkan.

“Sebab itu, kita menganjurkan Karnival Komunikasi ini bagi mendidik masyarakat. Kita tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa dan bilangan kerugian mencecah RM1 bilion tahun ini,” katanya kepada pemberita di Karnival Komunikasi 2024 di Hutan Bandar Putra di sini, hari ini. 

Kelmarin, akhbar melaporkan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, perkara itu akan diperhalusi oleh pejabat peguam negara sebelum dibawa ke Kabinet.

Karnival Komunikasi yang membawa tema ‘Literasi Komunikasi, Masa Depan Harmoni’ bertujuan berkongsikan maklumat kepada rakyat jelata bagi melahirkan satu masyarakat yang celik digital.

Nie Ching berkata, karnival itu merupakan antara inisiatif kementerian memberi pendedahan kepada orang awam mengenai kepentingan jalur lebar serta teknologi terkini di samping menarik minat komuniti setempat berkaitan inisiatif yang kementerian dan agensi terlibat. 

Tambahnya, aspek pembangunan rakyat iaitu mempermudah kehidupan, memperluas perniagaan dalam pelbagai platform, meningkatkan pendapatan dan memperkasakan kerjaya menjadi tumpuan utama karnival berkenaan.

Mengenai capaian liputan 5G di negeri ini, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sebanyak 927 stesen pemancar 5G beroperasi di seluruh Johor, 77 daripadanya adalah di daerah ini.

“Setakat ini, kesemua stesen pemancar ini telah beroperasi yang menyaksikan liputan 5G di Johor pada kadar 84.1 peratus,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya