KUANTAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini menyaksikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan mengangkat sumpah jawatan.
Mereka ialah Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dan Timbalan Ketua PKR Pahang, Rizal Jamin.
Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Speaker DUN, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ADUN-ADUN lain.
Mohd Sharkar dalam ucapan aluannya berkata, perlantikan ADUN lantikan itu adalah bagi meluaskan lagi perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat dalam situasi sosioekonomi yang semakin mencabar.
“Lantikan ini juga bagi membantu mencapai misi dan visi kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN