MELAKA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan operasi pengauditan terhadap 585 entiti perniagaan dan individu di Melaka dan Negeri Sembilan sepanjang tiga hari Op Jebat dan Op Minang dilaksanakan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli berkata, daripada jumlah itu sebanyak 258 kes dikesan di Melaka dan 327 kes di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, operasi yang bermula semalam melibatkan seramai 197 pegawai hasil kedua-dua negeri.
“Premis perniagaan merekodkan 445 kes manakala 140 kes melibatkan individu perseorangan. Audit mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 371 kes diikuti undang-undang dan pungutan, masing-masing sebanyak 111 dan 103 kes.
“Proses yang terlibat dalam operasi ini adalah pengauditan dan serahan surat saman yang melibatkan seksyen audit cukai, pungutan, undang-undang serta lain-lain seksyen yang terlibat secara tidak langsung,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Hasil, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Hisham, antara isu paling banyak dikesan LHDN adalah pelarian cukai oleh individu.
Katanya, kesalahan itu membabitkan tuntutan tidak tepat yang dikemukakan oleh pembayar cukai.
“Syarikat juga melakukan perkara sama. Isu yang selalu dibangkitkan adalah pertambahan cukai dan tuntutan tidak tepat.
“LHDN memandang serius jika terdapat unsur-unsur pelarian cukai yang dibuat dalam pelaporan sebelum ini. Justeru, operasi ini adalah untuk meningkatkan kadar pematuhan secara sukarela dan mengurangkan pengelakan cukai,” ujarnya. – UTUSAN