PETALING JAYA: Pelakon, Anna Jobling meluahkan rasa syukur selepas berjaya mencipta nama di negara seberang menerusi filem sulung arahan aktor popular Indonesia, Baim Wong berjudul Lembayung.
Anna berkata, naskhah tersebut secara tidak langsung menjadi pembuka rezeki untuknya memperkukuh kedudukannya di dalam industri perfileman di sana kerana sudah diintai oleh tiga produksi yang berbeza yang menawarkannya untuk berlakon filem.
“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh industri perfileman Indonesia.
“Selepas filem Lembayung, saya tidak menyangka akan menerima tawaran filem daripada tiga produksi berbeza di sini. Ini adalah peluang besar untuk saya kembangkan bakat dan karier di Indonesia,” katanya.
Tambahnya, dia amat berterima kasih kepada Baim yang memberikan kepercayaan untuknya terlibat dalam naskhah besar itu.
“Baim bukan sahaja seorang pengarah yang berbakat, tetapi juga seorang mentor yang banyak membantu saya. Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam projek yang besar seperti ini. Beliau benar-benar membuka pintu rezeki untuk saya di Indonesia,” jelasnya.
Menganggap pencapaiannya itu langkah yang positif dalam kerjayanya, Anna turut terharu apabila bakatnya disambut baik oleh pemain industri dan peminat di sana.
“Saya tidak pernah membayangkan sambutan hangat seperti ini. Pemain industri di sini sangat profesional dan peminat pula sangat penyayang. Mereka sangat menghargai saya, dan saya rasa sangat gembira dan bersyukur,” katanya.
Anna bagaimanapun turut meluahkan rasa teruja apabila penglibatannya menerusi filem itu memberi peluang untuknya bertemu dengan nama-nama besar dalam industri perfileman Indonesia.
“Bertemu dengan nama-nama besar seperti Christine Hakim dan Prilly Latuconsina adalah satu penghormatan buat saya. Saya sangat terinspirasi dengan dedikasi mereka terhadap industri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anna semakin yakin untuk menghasilkan karya yang bermutu demi peminat di Malaysia dan Indonesia.
“Saya berharap dapat memberikan lebih banyak karya yang bermutu, bukan sahaja kepada peminat di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Ini adalah fasa baru dalam karier saya dan saya akan terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Filem Lembayung telah mula ditayangkan secara rasmi di Indonesia, pada hari ini. -UTUSAN