Lelaki warga emas rugi RM91,060 ditipu pelaburan emas - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas rugi RM91,060 ditipu pelaburan emas

AZLI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun mengalami kerugian RM91,060 setelah tertipu dengan tawaran pelaburan emas yang tidak wujud menerusi WhatsApp, Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek menawarkan pelaburan ‘Emas Madinah’ dengan modal RM500 kepada mangsa pada 29 Oktober 2023.

Beliau berkata, menerusi pakej VIP berkenaan, mangsa yang juga pesara kerajaan dijanjikan pulangan lumayan sehingga RM15,800 dalam masa empat jam sahaja.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut kemudian dengan rela hati membuat 26 transaksi pemindahan wang ke enam buah akaun bank seperti diarahkan suspek.

“Setelah mengeluarkan ‘modal’ sebanyak RM91,060, mangsa bagaimanapun tidak menerima wang pulangan seperti yang dijanjikan dan merasakan dirinya telah ditipu.

“Mangsa telah membuat laporan pada 9 September
lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Azli berkata, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pelaburan mencurigakan dan menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, masyarakat perlu membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atas talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN