Lelaki tidak mengaku tipu pelaburan pembekalan barang HRPB - Utusan Malaysia

Lelaki tidak mengaku tipu pelaburan pembekalan barang HRPB

N. NARENDRAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas lima pertuduhan penipuan membabitkan pelaburan bernilai RM58,000. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang ejen pekerja warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan penipuan membabitkan pelaburan bernilai RM58,000, tahun lalu.

Tertuduh, N. Narendran, 44, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu, tertuduh didakwa telah menipu M. Punnusamy, 66, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh dapat memberikan pulangan pelaburan yang tinggi bagi pembekalan barang-barang Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Tindakan tertuduh itu telah mendorong Punnusamy memasukkan wang berjumlah RM35,000, RM10,000, RM6,800, RM5,500 dan RM700 ke dalam akaun Maybank dan Hong Leong Bank atas nama Mess N Medical Supplies miliknya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Maybank dan Hong Leong Bank Cawangan Pasir Puteh di dalam daerah Ipoh antara 27 November hingga 23 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap bapa kepada seorang anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vathira Wong Rui Fern mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kelima-lima pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran pada setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, K. Nahtan memohon jaminan dalam lingkungan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dikenakan ke atas Punnusamy dan tiada bantahan untuk anak guamnya melapor diri di balai polis pada setiap bulan.

“Pihak pembelaan tiada bantahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan, namun saya memohon mahkamah supaya tidak mengambil pasport tertuduh kerana ia adalah dokumen keperluan untuk anak guam menjalankan pekerjaannya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN