Lelaki tendang, tampar isteri dipenjara lima tahun 

Lelaki tendang, tampar isteri dipenjara lima tahun 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang yang sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan isterinya dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. 

Pada 23 Ogos lalu, tertuduh, Che Nohhud Che Omar, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Nur Atiyah Mohd Ali, 34, dengan memukul menggunakan batang penyapu sawang, batang penggaru badan, menampar dan menendang isterinya di seluruh badan. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 8 malam, di sebuah rumah di Jalan Jerejak Taman Setapak, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu. 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Dia juga didakwa di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda, atau dengan sebat.

Pada prosiding hari ini, selepas menjatuhkan hukuman tersebut Hakim Dr. Azrol Abdullah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 21 Ogos lalu. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir mencadangkan hukuman yang setimpal diberikan kepada tertuduh kerana telah menyebabkan kecederaan yang teruk kepada isterinya.

“Isteri sepatutnya dilindungi dan tertuduh telah melakukan kecederaan yang tidak wajar kepada isteri sehingga menyebabkan trauma,” kata Mohamad Ikhwan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang ringan atas alasan isterinya sedang mengandung dua minggu dan mempunyai tanggungan keluarga. 

Mengikut fakta kes, isteri kepada tertuduh di dalam kes ini telah membuat satu laporan polis pada 20 Ogos lalu selepas dipukul suaminya kerana enggan memberikan rantai milik anak pengadu kepada tertuduh.

Tertuduh juga telah meminta isterinya untuk meminjam wang berjumlah RM 500 daripada ibu bapanya  yang berada di kampung.

Tertuduh telah memukul isterinya dengan menggunakan sebatang penyapu sawang, batang kayu penggaru badan, menampar dan menendang serta menumbuk pengadu pada seluruh bahagian badan isterinya sehingga menyebabkan badan isterinya menjadi lebam dan bengkak keseluruhan badan.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN