Lelaki rentung dalam kebakaran rumah - Utusan Malaysia

Lelaki rentung dalam kebakaran rumah

KEADAAN kebakaran rumah yang menyebabkan seorang lelaki maut di Sitiawan hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang lelaki rentung apabila sebuah rumah teres setingkat dihuni lapan orang terbakar dalam kebakaran awal pagi tadi di Taman Muhibbah 2, Sitiawan dekat sini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, gagal menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira pukul 2.38 pagi itu.

Sementara, tujuh lagi ahli keluarganya yang berada dalam rumah tersebut berjaya menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 pagi.

Berikutan itu, 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan Seri Manjung bergegas ke lokasi dan tiba di tempat kejadian kira-kira empat minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, ketua operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Azmin Abd. Aziz mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan satu aliran hos 60 meter dua pancutan bersumberkan air dari tangki jentera dan pili bomba,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, BBP Manjung pula membantu kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran 30 meter satu pancutan bersumberkan air dari pili bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Beliau memaklumkan, pihaknya berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.21 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.16 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN