Lelaki pakai gaun tidur tak mengaku iklan khidmat pelacuran

Lelaki pakai gaun tidur tak mengaku iklan khidmat pelacuran

DUA individu dibawa ke mahkamah atas pertuduhan mempromosikan aktiviti seks dan penjualan bahan lucah di media sosial, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang berperwatakan wanita mengaku tidak bersalah di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan dan menyimpan gambar dan video lucah, minggu lalu. 

Di hadapan Majistret Atiqah Mohamed Saim, tertuduh, Mohammad Fariz Ikmal Azhar, 23, yang dibawa ke mahkamah dengan memakai gaun tidur warna merah jambu didakwa di dalam simpanannya mempuyai beberapa keping gambar dan video lucah.  

Sementara itu, di hadapan Hakim Isralizam Sanusi, tertuduh didakwa membuat iklan khidmat persundalan menggunakan aplikasi Telegram menggunakan profil @Datin_Uzawa199.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Sentul di sini pukul 10.45 pagi, 9 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip dan Nur Shakila Mohd. Shariff mencadangkan jaminan berjumlah RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam bela, Suriati Che Ariffin yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohammad Fariz diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 21 Oktober dan 11 November ini bagi sebutan semula kes. 

Selain itu, di mahkamah berlainan, seorang pekerja kilang turut mengaku tidak bersalah pertuduhan membuat iklan perkhidmatan pelacuran di laman sosial Telegram dan memiliki kandungan lucah, minggu lalu.

Di hadapan Hakim Hamidah Mohamad Deril, tertuduh, Ahmad Muzakker Aiman Ruziman, 25, didakwa mengiklankan perkhidmatan yang membawa maksud perkhidmatan pelacuran melalui laman sosial Telegram atas nama ‘Lyana Ratu Spa Trusted @OMGITSMELIA’ kepada seorang lelaki bagi maksud persundalan. 

Perbuatan itu didakwa berlaku di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 11.15 pagi mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan boleh dituduh di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. 

Di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz, Ahmad Muzakker didakwa memiliki kandungan lucah di tempat, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  

Terdahulu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan dan Muhammad Zulhilmi Latif mencadangkan jaminan berjumlah RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala peguam bela, Tripat Singh yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ahli keluarganya. 

Mahkamah kemudian membenarkan Ahmad Muzakker diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya