KEMAMAN: Kehilangan seorang lelaki warga emas yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) mental sejak dua hari lalu, terjawab apabila dia ditemukan lemas dalam sebuah kolam takungan air di Kampung Paman di sini, hari ini.
Mayat Phay Pow Lock, 65, ditemukan terapung di kawasan kolam takungan berhampiran kediamannya itu oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 10 pagi ketika melakukan pencarian mangsa.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, mangsa yang tinggal bersama abangnya berusia 69 tahun disedari hilang pada Sabtu dan lelaki itu kemudiannya membuat laporan polis.
“Pasukan penyelamat disertai seramai 26 anggota polis, Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam telah melakukan pencarian pada radius 500 meter di sekeliling kediamannya.
“Mayat mangsa kemudiannya ditemukan terapung dalam sebuah kolam takungan di kawasan belukar yang tebal kira-kira 100 meter dari kediamannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Hanyan berkata, pemeriksaan awal di kawasan kejadian tidak menemukan sebarang kesan pergelutan dan perbuatan jenayah.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN