ALOR SETAR: Seorang lelaki cedera dengan kesan melecur di bahu dan belakang badannya selepas sebuah gudang alat ganti kenderaan terbakar di Kawasan Perusahaan Mergong di sini, petang tadi.
Mangsa, Teow Taik Poo, 59, yang merupakan abang kepada pemilik gudang itu cedera ketika dia berusaha untuk memadamkan kebakaran terbabit.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 5.16 petang.
Katanya, sebanyak enam jentera dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Jalan Raja serta sembilan jentera pasukan bomba sukarela dikejarkan ke lokasi kejadian melibatkan 120 anggota secara keseluruhan.
“Kebakaran itu melibatkan sebuah gudang kelas A dengan anggaran keluasan 30 x 100 meter persegi. Sewaktu berkejar ke lokasi, pihak bomba terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya yang agak teruk memandangkan kejadian berlaku pada waktu puncak.
“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi memadam kebakaran masih dilakukan setakat pukul 9 malam ini namun api telah dapat dikawal sepenuhnya daripada merebak ke bahagian lebih besar atau premis berhampiran.
“Siasatan awal mendapati bangunan ini turut menempatkan tong-tong cat semburan yang boleh dianggap merbahaya dalam situasi ini. Jadi kami mengambil pendekatan berhati-hati dengan melakukan pemadaman dari luar bangunan,” ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan, namun kenyataan saksi menyatakan kebakaran itu berpunca daripada bahagian tengah bangunan. – UTUSAN