Lelaki fitnah anggota Balai Polis Ulu Tiram dipenjara tujuh hari, denda RM800 - Utusan Malaysia

Lelaki fitnah anggota Balai Polis Ulu Tiram dipenjara tujuh hari, denda RM800

WAN Abd. Qayyum Wan Mohd. Radzuan (kiri) didakwa memfitnah anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram dituduh di Mahkamah Majistret Tapah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang tukang cuci sebuah kilang besi di Pasir Gudang, Johor dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, dua minggu lalu.

Tertuduh, Wan Abd. Qayyum Wan Mohd. Radzuan, 25, juga berdepan hukuman penjara tujuh hari lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman tersebut diputuskan setelah lelaki itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Anis Zainab Pawan Teh.

Hukuman itu berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 5 September lalu.

Mengikut pertuduhan, Wan Abd. Qayyum didakwa telah melakukan fitnah terhadap Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dengan menyiarkan kepada Nur Azza Assaqiren Azhar, 29, melalui komen di media sosial Facebook ‘Wan Qayyum’ dengan menyatakan ‘Tu yang jadi kes Balai Ulu Tiram tu yang dua anggota mati sebab masa hidup pau duit tepi’ dengan maksud merosakkan nama baik Allahyarham sekiranya masih hidup dan menyakiti perasaan Azhar Khaiden, 55, yang juga bapa si mati.

Komen tersebut telah dibaca pengadu ketika berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Klah, Sungkai dalam daerah Batang Padang pada pukul 2 petang, 28 Ogos 2024.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt.

Terdahulu, Amani Williams dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ke atas anak guamnya dan menyatakan lelaki yang masih bujang itu mengakui kesilapan yang dilakukannya dan berjanji tidak akan mengulangi perkara sama pada masa hadapan.

Sementara itu, bapa Allahyarham Ahmad Azza Fahmi ketika memberi kenyataan dari dalam kandang saksi memberitahu mahkamah bahawa perbuatan tertuduh itu telah menyinggung perasaannya dan keluarga.

“Kenyataan itu menyatakan seolah-olah anak saya memang layak meninggal dunia kerana selalu pau duit tepi orang sehingga dia dibunuh.

“Ini merupakan satu penghinaan terhadap arwah dan kami sekeluarga berasa sedih, marah, kecewa dan tersinggung dengan kenyataan yang dilemparkan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan perasaan keluarga,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi 17 Mei lalu, Ahmad Azza Fahmi yang juga anggota ronda cegah jenayah terkorban akibat ditetak seorang lelaki bertopeng dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Insiden itu turut mengorbankan rakan setugas mangsa, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, akibat ditembak di bahagian bahu dan perut oleh individu sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN