Lelaki ditemukan mati tersangkut celah pokok

Lelaki ditemukan mati tersangkut celah pokok

KEADAAN mayat mangsa yang ditemukan dalam keadaan tersangkut pada pokok dokong di kebun keluarganya di Kampung Jerek Baru, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan tersangkut pada celahan pokok dokong semasa memetik buah itu dikebun keluarganya di Kampung Jerek Baru di sini, hari ini.

Terdahulu, mangsa Mohamad Mat Noor, 51, dikatakan tidak pulang ke rumah sejak semalam sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan keluarga.

Mangsa yang meninggal dunia akibat serangan jantung dijumpai tersangkut pada sebatang pokok dokong setinggi kira-kira tiga meter di kebun terletak 2 kilometer dari rumahnya pada pukul 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa keluar dari rumah kira-kira pukul 3 petang semalam untuk memetik buah dokong di kebunnya.

Menurutnya, abang mangsa, Abd. Rani, 59, menyedari adiknya belum pulang ke rumah sehingga pukul 8 malam semalam.

“Abang mangsa keluar mencari adiknya pagi tadi di kebun milik keluarganya yang terletak 800 meter dari jalan utama.

“Abd. Rani terkejut melihat adiknya tersangkut pada celah dahan pokok. Baldi yang digunakan untuk memetik buah masih lagi berada di atas pokok dokong itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberiyahu, Abd. Rani kemudian meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang untuk menurunkan mayat adiknya.

Katanya, pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Jerek mengesahkan kematian mangsa yang masih bujang itu disebabkan serangan jantung.

“Siasatan lanjut mendapati, tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Jenazah mangsa telah diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerek di sini selepas solat Asar hari ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN