Lelaki dikhuatiri lemas selepas selamatkan rakan jatuh bot - Utusan Malaysia

Lelaki dikhuatiri lemas selepas selamatkan rakan jatuh bot

BOT yang dinaiki Mohd Nasrul Shah Syed Mohd Yusoff (kanan) dan jurumudi Mohd Syahir Sabeli yang dipukul ribut di perairan Tanjung Piandang di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang di laut ketika menyelamatkan rakannya yang terjatuh dari bot dalam kejadian di perairan Tanjung Piandang di sini hari ini.

Mangsa, Mohamad Akhmal Mohd Yusuf, 23, tenggelam selepas cuba menyelamatkan rakannya, Mohd Nasrul Shah Syed Mohd Yusoff,16 , selepas bot mereka hampir terbalik dipukul ombak.

Mohd. Nasrul Shah berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5 pagi ketika dia bersama tiga rakannya termasuk mangsa ke laut untuk merawai.

Katanya, ombak kuat menyebabkan bot dinaiki mereka hampir terbalik dan dia terjatuh ke dalam laut.

“Ketika itu hanya Mohamad Akhmal sahaja yang mungkin ternampak saya jatuh dalam laut lalu dia terjun untuk menyelamatkan saya.

“Dia dapat merangkul saya namun ombak besar menyebabkan beberapa kali kami terpisah. Dia sempat memberitahu saya supaya menunggu bot berpusing semula dan menyuruh saya untuk naik bot terlebih dahulu.

“Selepas itu, dia dihanyutkan ombak dan saya hanya nampak tangannya terkapai-kapai sambil tenggelam timbul dan kemudiannya hilang daripada pandangan,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Sungai Betul, Tanjung Piandang di sini.

Sementara itu, Pengarah Komander Maritim Zon Kuala Kurau, Mohd Najhan Azman Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7 pagi dan bilik gerakan untuk operasi mencari mangsa dibuka pukul 9 di Jeti Sungai Betul.

Menurutnya, anggota Maritim yang dibantu agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan serta komuniti nelayan setempat mencari mangsa.

“Operasi hari ini dihentikan pada sebelah malam dan disambung semula esok pagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN