Lelaki didenda RM4,000, penjara sebulan buat hantaran menghasut - Utusan Malaysia

Lelaki didenda RM4,000, penjara sebulan buat hantaran menghasut

NOR Ismail Amran Ghazilah (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku salah terhadap tuduhan menghasut di Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang penganggur dipenjara sebulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah membuat hantaran hasutan membabitkan Sultan Kedah melalui aplikasi TikTok miliknya, dua bulan lalu.

Tertuduh, Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, turut diperintahkan Majistret, M. Kalaiarasi untuk menjalani hukuman penjara selama lapan bulan selepas gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan penerbitan menghasut melalui aplikasi TikTok iaitu ‘Negeri Kedah curi hasil negeri lain-lain.. Sultan Kedah pencuri sebenar pada ketika itu, saya cabar seluruh Istana Anak Bukit dan mencabar Sultan Kedah’.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pekan Sungai Petani kira-kira pukul 10 malam, 6 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farahdina Che Bakar.

Farahdina memohon hukuman yang ringan terhadap tertuduh memandangkan ia kesalahan pertama dan sudah menyesal selain sudah lapan bulan tidak bekerja serta tinggal bersama ibu yang sudah tua.

Bagaimanapun, Preeya memohon hukuman penjara yang setimpal kerana hasutan terhadap institusi diraja, selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial serta memberi pengajaran kepada orang awam.

Selepas hukuman dibacakan, Majistret menjelaskan mahkamah tidak dapat menghalang media kerana itu merupakan kebebasan media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN