ALOR SETAR: Seorang lelaki terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati kepada penjara 35 tahun kerana membunuh teman wanitanya, 10 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Tengku Maimun; Abang Iskandar dan Nordin sebulat suara menerima permohonan Abd. Khalid Md. Isa, 53, yang disahkan mengalami masalah mental.
Panel turut mengenepikan hukuman sebatan ke atas Abd. Khalid atas faktor usia selain menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 1 Oktober 2014.
Abd. Khalid yang ditempatkan di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang sebelum ini dihukum mati setelah didapati bersalah membunuh Rohani Hashim, 30, di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Datok Keramat Bukit Tengah Bukit Mertajam, pada 30 September 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, peguam Rashid Zulkifli yang mewakilinya mengemukakan pemohonan mengenepikan hukuman mati itu atas alasan anak guamannya mengalami masalah mental selain insaf dengan perbuatannya.
“Pemohon mempunyai masalah mental dan perkara ini dibuktikan oleh laporan kesihatannya. Selain itu pemohon juga menunjukkan kekesalan yang amat di atas perbuatannya sebelum ini.
“Itu dijelaskan dengan pengakuan bersalahnya sebelum ini. Selain itu pemohon juga didapati sudah insaf dan mengikuti program keagamaan di penjara,” kata Rashid.
Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud tidak membantah permohonan itu namun meminta hukuman penjara ditetapkan antara 35 hingga 40 tahun terhadap Abd. Khalid.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 2019 mengekalkan hukuman gantung terhadap bekas pengusaha kantin tersebut setelah didapati bersalah membelasah teman wanitanya sehingga mati dan kemudian tidur semalaman dengan mayat itu.
Mengikut fakta kes, Abd. Khalid berulang kali memukul kepala Rohani dengan spanar dan menghantuk kepala wanita itu ke tiang rumah sehingga menyebabkan kematiannya. Cebisan anggota mangsa ditemukan dalam bara api di belakang rumah Abd. Khalid pada keesokan harinya. – UTUSAN