Lebuh Raya Timur Barat saksi sejarah berdarah negara menentang komunis

Lebuh Raya Timur Barat saksi sejarah berdarah negara menentang komunis

TUGU yang dibina bagi memperingati pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB) ketika negara berdepan ancaman pengganas komunis pada tahun 1970-an. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pembinaan laluan Gerik-Jeli atau Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB) yang dibuka pada 1 Julai 1982 setelah 12 tahun masa diambil untuk disiapkan mencatat pelbagai sejarah berdarah kerana sewaktu dibina pada era 1970-an, negara sedang berdepan ancaman bersenjata gerakan komunis.

Pengajar bidang sejarah, Muhammad Mutalib Nordin berkata, hasil kajianya, dianggarkan 3,000 anggota keselamatan seperti polis dan tentera dilibatkan untuk menjaga keselamatan pekerja pembinaan laluan tersebut.

Beliau yang merupakan ahli panel pada program Pengkisahan Sejarah LRTB di sini baru-baru ini berkata, idea pembinaan jalan Gerik-Jeli itu timbul sejak 1958 menerusi satu rancangan antarabangsa untuk mewujudkan perjalanan darat Asia dari Turki hingga Singapura.

Beliau yang sedang membuat kajian tentang LRTB di peringkat sarjana berkata, sebelum jalan Gerik-Jeli dibina, telah wujud cadangan untuk membina laluan antara Sungai Siput, Perak dan Kuala Berang, Terengganu melalui Gua Musang.

“Namun, idea yang turut mendapat penyertaan kerajaan Kanada itu tidak diteruskan kerana dipercayai Malaysia dalam keadaan sukar akibat konfrontasi Indonesia serta ancaman komunis.

“Berdasarkan kajian, negara seperti Jepun dan Arab Saudi selain badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Bank Dunia menyatakan kesediaan mereka untuk membantu menjayakan pembinaan LRTB. 

“Hasil kajian dianggarkan 3,000 anggota keselamatan seperti polis dan tentera dilibatkan untuk menjaga keselamatan pekerja pembinaan,” katanya.

PENGALAMAN BERDARAH

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, pesara Askar Wataniah, Ielias Ibrahim berkongsi pengalaman berdarah semasa bertugas bagi mengawal keselamatan pekerja pembinaan LRTB.

Katanya, pada 15 Ogos 1977, dia bersama empat anggota lain sedang bertugas telah diserang hendap oleh beberapa pengganas komunis di kawasan hutan di Gerik.

Menceritakan detik dilaluinya, serangan hendap itu mendatangkan tembakan rambang oleh lawan yang mengorbankan dua rakan sepasukannya manakala dirinya cedera di bahagian mata akibat terkena duri pokok sewaktu berdepan asakan tersebut.

“Selepas serangan, keadaan sunyi seketika. Saya dengar langkah dan suara musuh sedang menuju ke tempat saya. Masa itu dalam kepala hanya bermain perasaan reda jika inilah ajal saya.

“Saya berlakon pura-pura mati sewaktu mereka datang. Secara pelan-pelan saya cuba menggunakan peluang yang ada untuk menumbangkan mereka satu persatu seramai tiga orang menggunakan lima butir peluru,” katanya.

Selain Muhammad Mutalib  dan  Ielias, lain-lain ahli panel ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator K. Saraswathy; bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) di Selangor, Datuk Ir. Ibrahim Yakub dan pesara polis, Salleh Samat.

Mereka menceritakan latar belakang LRTB serta berkongsi kajian serta pengalaman masing-masing ketika terlibat secara langsung sewaktu pembinaan lebuh raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN