‘Lebih baik sedekah RM300 kepada Siti Mastura upah penyelidik’ 

‘Lebih baik sedekah RM300 kepada Siti Mastura upah penyelidik’ 

LIM LIP ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang mencetus kontroversi selepas mengaitkan Pengerusi DAP mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng, lebih layak menerima sumbangan RM300 untuk mengupah penyelidik menjalankan kajian.

Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Lim Lip Eng berkata, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sepatutnya memberi ‘sedekah’ itu berbanding menyumbang wang RM300 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hanya kerana berlaku kesalahan terjemahan oleh ChatGPT dalam kenyataannya berhubung pensijilan halal.

Kata Lip Eng, menerusi sedekah itu pasti membantu Siti Mastura mengelakkan dirinya daripada membuat kenyataan tidak berasas atas dakwaan hubungan keluarga antara Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; veteran DAP, Lim Kit Siang dan Chin Peng.

“Saya menggesa Ahmad Fadhli mempertimbang semula cadangan memberi sedekah RM300 sebulan bagi membantu Teresa membuat terjemahan.

“Sebaliknya, saya cadangkan sumbangan ini disedekahkan kepada Siti Mastura bagi membolehkan beliau mengupah penyelidik menjalankan kajian politik yang teliti sebelum menyampaikan ucapannya khususnya isu mengenai DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Lip Eng menjawab kenyataan Ahmad Fadhli yang berhasrat menyumbang sedikit peruntukan untuk mengupah pembantu kepada Teresa membuat terjemahan.

Katanya, beliau bersimpati dengan Teresa kerana kesalahan terjemahan oleh ChatGPT yang menjadi punca kenyataan Naib Pengerusi DAP itu berkenaan cadangan kerajaan mewajibkan pensijilan halal menjadi kontroversi.

“RM300 sebulan untuk seorang pembantu separuh masa lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) khusus untuk membuat kerja-kerja penterjemahan ke bahasa Melayu.

“Solidariti untuk YB Teresa Kok. Jom, tentu penyokong PH (Pakatan Harapan)/BN (Barisan Nasional) gembira dengan semangat saya hari ini,” katanya.

Dalam wawancara eksklusif Mingguan Malaysia bersama Teresa pada minggu lalu, beliau memberitahu kenyataan berhubung isu sijil halal ‘lari’ daripada kenyataan asal selepas menggunakan aplikasi ChatGPT untuk proses terjemahan.

Katanya, kenyataan asalnya dalam bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu oleh ChatGPT menyebabkan ada bahagian diterjemah menjadi sensitif.

Kesilapan terjemahan itu adalah langkah mewajibkan sijil halal akan “memalukan” negara, sedangkan maksud sebenarnya adalah berisiko “menjejaskan nama baik negara”.

“Disebabkan pekerja saya tergesa-gesa ke luar negeri menjalankan tugas, maka, kenyataan ini diterjemah menggunakan varian model bahasa ChatGPT kerana lebih cepat.

“Namun, ada perkataan tertentu yang diterjemah ‘lari’ daripada maksud asal dan pihak kami pula kurang teliti dengan perkataan yang digunakan.

“Masalahnya apabila ada portal berita menulis tajuk berita yang mengejutkan dan kurang manis. Sedangkan, maksud saya dalam kenyataan adalah kerajaan mengkaji,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Lip Eng, dalam prosiding mahkamah tinggi berkenaan kes saman fitnahnya baru-baru ini, Siti Mastura percaya sepenuhnya akan semua isi kandungan buku daripada sumber tanpa nama yang didakwa berkaitan dengan BN Communication, yang mengandungi banyak kenyataan berunsur fitnah.

“Sebagai pemegang PhD (Ijazah Doktor Falsafah), beliau seharusnya lebih berhati-hati menjadikan sumber tidak sah seperti ini sebagai rujukan, yang pada dasarnya adalah cerita dongeng terutama sekali apabila buku ini tidak mempunyai pengarang yang boleh dikenal pasti, ISBN atau penerbit,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN