SERDANG: Lebih 80 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai lebih RM7 bilion dimeterai sepanjang 12 hari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 berlangsung.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, memorandum yang berjaya ditandatangani itu melepasi sasaran asal RM6 bilion melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi dan juga syarikat luar.
“Terdapat 81 memorandum berjaya ditandatangani dengan jumlah bernilai RM7.2 bilion.
“Agrobank turut merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan berjumlah RM1.38 bilion,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Penutupan MAHA 2024 di Dewan B, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), kelmarin.
MAHA 2024 membawakan tema ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’ sempena penganjurannya buat kali ke-100 tahun.
Ia merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara, yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan yang berlangsung selama 12 hari bermula 11 September lalu.
Sementara itu, MAHA 2024 turut menerima kehadiran pengunjung melebihi sasaran utama tiga juta orang pada peringkat awal.
Katanya, angka itu direkodkan pada hari kelapan pameran selepas pembukaannya bermula 11 September lalu.
“Bukan itu sahaja, sasaran kedua melebihi lima juta pengunjung juga menunjukkan hasil apabila kita catatkan 5.02 juta kehadiran setakat 12 tengah hari pada hari terakhir pameran,” katanya.
Tambah Mohamad, jumlah keseluruhan pengunjung sepanjang 12 hari pameran itu mencapai 5.5 juta orang.
“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian luar biasa yang dicapai. Ini merupakan indikator positif bahawa minat rakyat terhadap sektor pertanian semakin pesat berkembang.
“Masuk ke-100 tahun penganjuran pameran ini, ia sekali lagi membuktikan bahawa sektor agromakanan di negara kita bukan sahaja berdaya saing, malah berpotensi besar dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, sepanjang 12 hari berlangsung, MAHA 2024 mencatatkan rekod jualan mencecah hampir RM50 juta.
Katanya, nilai jualan itu merangkumi jualan makanan, produk industri makanan asas tani (IMAT), sayur dan buah-buahan serta produk ternakan.
Kategori dengan jualan tertinggi adalah makanan popular sebanyak 35 peratus dengan nilai RM16.9 juta diikuti produk IMAT dan lain-lain yang masing-masing mengumpul nilai jualan RM9.7 juta ataupun 20 peratus.
Bagi jualan jenis sayur dan buah, peratusan dicatat adalah 14 peratus dengan nilai RM6.7 juta selain ternakan dengan tujuh peratus (RM3.3 juta) dan produk florikultur bernilai RM1.9 juta dengan peratusan sebanyak empat peratus.
Tambah Mohamad, kejayaan MAHA kali ini turut memberikan impak positif kepada kumpulan yang disasarkan.
Katanya, pameran berkenaan menjadi platform yang ideal untuk mempromosikan produk tempatan kepada pengguna khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Dengan pameran inovasi terkini, para petani berpeluang untuk mendapatkan pengetahuan baru dan teknologi yang dapat meningkatkan hasil pertanian mereka.
“Industri PKS pula dapat tingkatkan jaringan perniagaan mereka melalui kolaborasi dengan pelbagai agensi dan syarikat,” katanya. – UTUSAN