Lebih 60,000 klien ADDK jalani pemulihan dalam komuniti  - Utusan Malaysia

Lebih 60,000 klien ADDK jalani pemulihan dalam komuniti 

SHAMSUL Anuar Nasarah (tiga kanan) menyampaikan sijil latihan kemahiran kepada salah seorang klien sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok di Puspen Papar, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan terus mempergiatkan rawatan dan pemulihan dalam komuniti bagi mengurangkan kadar penagihan dadah dalam kalangan rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelaksanaan pemulihan dalam komuniti itu bukan perkara baharu kerana sehingga kini, lebih 60,000 klien AADK di seluruh negara telah menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti.

Beliau berkata, klien yang menjalani pemulihan dalam komuniti akan dipantau melalui 108 Pejabat AADK daerah dan Pusat Rawatan dan Pemulihan Komuniti.

Selain pemulihan dalam komuniti, terdapat 8,000 klien turut menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara.

Katanya, program-program pemulihan yang dilaksanakan itu akan membantu mengurangkan kadar penagihan dadah dalam kalangan masyarakat menjelang 2025.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Rang Undang-Undang baharu Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) yang diluluskan sebelum ini akan diperkemaskan. Ia termasuk program pemulihan bersepadu, program rawatan dan pemulihan secara kesukarelaan, sokongan psikososial yang lebih komprehensif.

“Kita sangat berharap mereka yang telah menjalani proses pemulihan sama ada di Puspen mahupun komuniti tidak akan datang semula ke sini. Klien yang berada di Puspen bukan sekadar menjalani proses pemulihan biasa, mereka turut diberi latihan kemahiran Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET),” katanya semasa majlis ramah mesra bersama warga Puspen Papar, hari ini.

Beliau percaya dengan adanya sijil kemahiran tersebut, klien-klien AADK boleh mendapat  pekerjaan yang lebih baik selepas menamatkan proses pemulihan.

Kata beliau, dengan menempatkan klien di Puspen dan dalam komuniti, ia dapat menjayakan matlamat untuk mengurangkan kadar penagihan menjelang 2025 kepada tidak lebih 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Dalam program hari ini, Shamsul turut menyampaikan sijil kepada 20 orang klien Puspen yang berjaya menamatkan latihan kemahiran dalam bidang elektrik dan penyelenggaraan pendingin hawa.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN