Lebih 400 kanak-kanak kini di tempat selamat - Nancy

Lebih 400 kanak-kanak kini di tempat selamat – Nancy

OKU kerja
NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 400 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global baru-baru ini kini berada di tempat selamat di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengawasan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya melalui JKM telah terlibat dari awal dalam operasi tersebut. 

Kata beliau, pihaknya sentiasa prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak dan tugas JKM dalam hal itu adalah memberi perlindungan, penjagaan dan sokongan sewajarnya kepada kanak-kanak yang diselamatkan agar mereka tenang, selesa serta berasa selamat.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kanak-kanak tersebut berada dalam perlindungan dan penjagaan yang sewajarnya. Kebajikan mereka kami jaga dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, polis menyerbu 20 buah rumah amal iaitu 18 di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia setahun sehingga 17 tahun. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, hasil maklumat lanjut, PDRM mengesyaki terdapat penglibatan sebuah syarikat dalam kegiatan pemerdagangan manusia. 

Menurutnya, hasil serbuan mendedahkan terdapat kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap penghuni terdiri daripada kanak-kanak iaitu seramai 402 mangsa melibatkan 201 lelaki dan 201 perempuan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, beliau menyerahkan kepada komunikasi oleh pihak PDRM untuk sebarang maklumat lanjut mengenai operasi berkenaan. 

Jelasnya, beliau sebelum ini tidak mengeluarkan kenyataan atau respon awal terhadap kes itu bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan lancar selain tidak mahu sebarang kenyataannya mengganggu siasatan atau operasi.

“Terima kasih kepada orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua yang telah menyuarakan keprihatinan terhadap kebajikan kanak-kanak ini. 

“Sokongan anda semua amat dihargai, dan kami akan terus menjalankan tanggungjawab demi kepentingan terbaik kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN