Lebih 30,000 pengembara berpusu-pusu ke Thailand sempena cuti sekolah - Utusan Malaysia

Lebih 30,000 pengembara berpusu-pusu ke Thailand sempena cuti sekolah

KESESAKAN berlaku di kaunter pemeriksaan imigresen dan kastam di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Fenomena rakyat Malaysia bercuti ke Thailand khususnya di selatan negara itu terus rancak apabila kesesakan trafik berlaku di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini.

Data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah setakat ini menunjukkan, sebanyak 30,754 pengembara telah keluar masuk melalui ICQS Bukit Kayu Hitam, sejak cuti sekolah bermula semalam.

Manakala, 1,868 orang menggunakan ICQS Kota Putra di Padang Terap, sekali gus mencatatkan peningkatan kira-kira 40 peratus berbanding hanya sekitar 400 hingga 600 pengembara pada hari biasa.

Malah, sejak awal pagi, kenderaan beratur panjang sejauh 800 meter di pintu sempadan Malaysia-Thailand yang menghubungkan Kota Putra dengan Ban Prakob, Thailand dan kesesakan hampir 5 kilometer (km) berlaku di Bukit Kayu Hitam.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain, populariti Hatyai di Thailand dalam kalangan pelancong Malaysia telah menyumbang kepada lonjakan pelawat sepanjang musim cuti ini.

“Sejak Khamis lalu, kesesakan di kedua-dua sempadan negara itu menjadi semakin tinggi apabila jumlah pengembara yang menuju ke Thailand bertambah secara drastik.

“Pengembara Malaysia menjadikan Hatyai sebagai destinasi popular kerana lokasi itu dikatakan terkenal sebagai syurga makanan dengan hidangan yang murah dan lazat,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Ridzzuan, JIM Kedah telah menambah bilangan kaunter pemeriksaan imigresen di kedua-dua ICQS itu bagi mempercepat proses pemeriksaan dokumen perjalanan pelancong serta memperbaiki aliran trafik di kawasan sempadan.

“Di samping itu, penguatkuasaan trafik dipertingkat di jalan-jalan utama menuju ke sempadan bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pergerakan lancar.

“Kami menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa serta memberikan kerjasama penuh kepada pegawai bertugas,” ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai digalakkan merancang perjalanan mereka lebih awal serta memantau perkembangan trafik melalui saluran rasmi dan memilih waktu yang sesuai bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan yang lebih teruk.

Pada masa sama, pelancong turut diingatkan untuk memastikan dokumen perjalanan mereka sah dan lengkap bagi mengelak sebarang kesulitan di sempadan.

“Dengan jangkaan kesesakan yang berterusan sepanjang cuti sekolah, perancangan yang baik dan langkah proaktif sangat diperlukan bagi memastikan perjalanan lancar dan pengalaman melancong yang lebih menyenangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya