Lebih 100 rumah dilanda banjir di Nibong Tebal

Lebih 100 rumah dilanda banjir di Nibong Tebal

SEORANG wanita berada di hadapan rumahnya ketika air banjir menghampiri paras pinggang di Kampung Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Lebih 100 buah rumah di sekitar kawasan Parlimen Nibong Tebal terjejas selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat sejak malam tadi.

Antara kawasan yang terlibat ialah Jawi, Sungai Kechil, Kampung Besar, Taman Cenderawasih, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sungai Udang, Taman Nibong Tebal, Kampung Sanglang, Kampung Setthu dan Taman Ilmu.

Difahamkan, air dari sungai berhampiran mula melimpah ke tebing pada pukul 8 pagi selepas hujan turun sejak malam tadi, malah, air dari kawasan bukit turut melimpah memasuki kawasan rumah penduduk.

Menurut seorang penduduk, Mohd Zabidi Embi, 52, air mula naik dengan pantas awal pagi tadi sehingga mencapai paras pinggang di kawasan rumahnya di Kampung Sungai Kechil, di sini.

“Sebelum ini memang kawasan ini kerap berlaku banjir, namun, kali ini air naik dengan pantas dan parasnya juga tinggi. Saya mula mengalih perabot ke tingkat atas rumah sejak malam tadi selepas hujan turun dengan lebat kerana bimbang banjir berlaku.

“Jangkaan saya memang tepat kerana pagi ini banyak kawasan telah dilanda banjir dan air sungai naik dengan pantas,” katanya di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Sarina Sairin, 65, berkata, rumahnya dinaiki air kira-kira pukul 8.45 pagi tadi selepas hujan turun tidak berhenti-henti sejak malam tadi.

“Tahun ini banjir paling teruk melanda Kampung Sungai Kechil, tidak pernah air naik sehingga ke paras dada di rumah saya ini. Saya tidak sempat mengangkat barang ke tempat yang lebih tinggi kerana air naik terlalu pantas,” katanya.

FADHLINA Sidek (tengah) ketika meninjau keadaan banjir di Kampung Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun pihaknya telah mengarahkan semua pihak bersedia jika terdapat keperluan untuk memindahkan mangsa banjir.

“Keadaan banjir kali ini membimbangkan dan kita perlukan kerjasama semua agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan keselamatan orang ramai.

“Ada rumah yang agak teruk dan perlu pemindahan segera. Kita minta yang terlibat dengan pemindahan ini patuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa demi keselamatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya