KUALA KEDAH: Kesemua 10 perjalanan feri Langkawi dua hala dari Kuala Kedah terpaksa dibatalkan hari ini ekoran laut bergelora dengan ombak menjangkau ketinggian sehingga lima meter.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, pembatalan itu melibatkan empat perjalanan dari Langkawi dan enam perjalanan dari Kuala Kedah dengan keseluruhan 3,945 penumpang terjejas.
“Terdapat 10 perjalanan laluan feri Langkawi – Kuala Kedah – Langkawi hari ini iaitu pada pukul 10.30 pagi, 12, 1 dan 1.30 tengah hari dari Terminal Feri Kuah dan 9.30, 10.30. 11.30 pagi, 12 dan 1.30 tengah hari serta 2.30 petang dari Terminal Feri Kuala Kedah.
“Kesemua perjalanan itu dibatalkan hari ini kerana laut beralun teruk dengan ombak sehingga lima meter. Demi keselamatan semua penumpang kita terpaksa membatalkan trip tersebut.
“Keadaan amat menggerunkan apabila ombak membadai feri termasuk feri terbesar kita, My Master pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baharin berkata, penumpang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan masing-masing.
“Feri tambahan akan disediakan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis tertakluk kepada keupayaan terminal tersebut menerima jumlah penumpang serta paras air yang selamat,” katanya. – UTUSAN