Lapan lelaki ditahan disyaki curi kabel TM - Utusan Malaysia

Lapan lelaki ditahan disyaki curi kabel TM

AZIZI Mat Aris (tengah) dalam sidang akhbar kes curi kabel komunikasi Telekom Malaysia (TM) di Jalan Keliling, Taman Canning di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai lapan lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kabel komunikasi Telekom Malaysia (TM) di Jalan Keliling, Taman Canning di sini semalam.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 36 tahun itu ditahan di Kampung Bharu di sini pada pukul 3.30 pagi hari ini oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan terhadap suspek itu dibuat susulan laporan polis oleh lelaki berusia 31 tahun yang ternampak sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah rakannya di Jalan Keliling pada pukul 2.30 pagi, semalam.

Katanya, kenderaan itu dilihat sedang menarik kabel dari kawasan lurang (manhole) yang terbuka di atas jalan.

“Suspek yang menyedari kehadiran pengadu telah melarikan diri menaiki dua buah kereta jenis Perodua Axia dan Myvi dengan nombor pendaftaran tidak pasti.

“Bertindak atas maklumat, tangkapan dibuat ke atas kesemua suspek hari ini. Hasil semakan rekod jenayah mendapati tujuh daripada suspek memiliki rekod bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika tangkapan itu, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh di hukum penjara selama tempoh tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, polis telah membuka sebanyak 247 kertas siasatan membabitkan kes kecurian kabel sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini di seluruh Perak.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 76 kes berjaya dituduh manakala bakinya masih diperingkat siasatan.

“Polis memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja membabitkan jenayah curi malah menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur yang ada di tepi jalan yang boleh membahayakan orang ramai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN