GEORGE TOWN : Tindakan pengusaha kedai runcit menggajikan warga asing yang memiliki permit pekerja industri terbongkar apabila Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang menyerbu tiga buah premis perniagaan di pusat bandar selain sebuah premis di Gelugor, semalam.
Menurut jurucakap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, dalam operasi yang dilaksanakan itu, seramai 13 orang pekerja asing telah diperiksa dan sembilan daripada mereka telah ditangkap kerana disyaki melanggar syarat-syarat pas.
“Mereka yang ditahan itu berumur di antara 25 hingga 40 tahun dan terdiri daripada tujuh lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Mynmar dan seorang lelaki warga Nepal.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, pemilik perniagaan didapati tiada di premis dan premis berkenaan dikendalikan serta berada dalam kawalan para pekerja asing terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan, pekerja warga asing itu telah memasuki negara ini untuk bekerja dalam sektor perkilangan, namun, mereka kemudiannya bekerja di kedai runcit.
“Kesemua tangkapan telah ditahan untuk siasatan manakala siasatan lanjut ke atas majikan dan pemilik premis akan dilakukan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan,” katanya.-UTUSAN