Sebenarnya, penyanyi berusia 22 tahun ini boleh dikatakan sudah lama juga berkecimpung dalam industri seni hiburan tanah air.
Namun begitu, entah mengapa, berbanding artis seangkatan lain, Layla Sania, lambat ‘panas’ untuk naik, sekali gus menyaksikan namanya sedikit terkebelakang daripada penyanyi lain.
Walhal, hampir enam tahun juga Layla membina kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
Untungnya lagi, dia bernaung di bawah syarikat label terkemuka, Warner Music, bukannya bergerak secara sendiri atau paling tidak, bernaung di bawah syarikat cap ayam.
Itu bermakna, Layla serius dalam bidang seni ini dan tidak sekadar mahu menjadi penyeri industri semata-mata.
Lalu, apakah ketiadaan kontroversi menjadi penyebab utama mengapa dirinya lambat menyerlah di pentas glamor? Dalam kerendahan hati, ini jawapan dari mulut penyanyi muda ini.
“Kalau ditanya, saya sendiri pun tidak tahu apa sebabnya. Selain menyanyi, mengacara dan berlakon, sebenarnya saya ini juga merupakan seorang guru pendidikan awal kanak-kanak dan merupakan graduan Universiti Antarabangsa UNITAR.
“Mungkin Allah berkehendakkan saya fokus juga dalam bidang itu. Malah, mungkin selepas ini pun saya nak sambung belajar lagi.
“Saya dah rancang, jika boleh, saya nak sambung pengajian dalam bidang pendidikan khas. Pendek kata, selain sibuk dengan dunia seni, ini juga adalah dunia saya,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.
Menambah bicara, kata Layla, dia juga sedar, wujud pandangan daripada orang belakang tabir bahawa sekiranya dia mahu cepat popular, kontroversi harus menjadi ‘makanannya’.
Maklum sahajalah, jika tiada kontroversi, seputar kehidupan seorang artis itu akan dikatakan membosankan.
Bagaimanapun, untuk dirinya memilih terpalit dengan kontroversi, Layla berharap tidak.
“Saya harap diri ini tak payahlah terkena gosip atau sampai terpaksa kena cipta apa-apa kontroversi demi nak cepat popular. Terus-terang, saya harap, sebagai anak seni, saya naik dengan ‘natural’.
“Lambat pun lambatlah. Kita pernah saja tengok artis-artis lama, contohnya macam Aliff Satar. Dia naik pun ambil masa juga dan sekarang tengoklah, muka dia ada di mana-mana.
“Saya percaya, kalau saya sabar, Insya-Allah saya akan dapat apa yang dimahukan,”katanya.
Masuk industri bukan Melayu
Bercerita mengenai kemampuannya berbahasa Mandarin, kata Layla, dia telah diterapkan dengan bahasa berkenaan sejak kecil oleh ibu dan bapanya yang berkeinginan anaknya ini mampu menguasai bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris.
Kata Layla, disebabkan itu, dia berkemahiran berbahasa Cina dengan baik dan kemudiannya berpeluang merakamkan album dalam bahasa tersebut sejak bernaung di bawah Warner Music, enam tahun lalu.
“Saya belajar bahasa ini sampailah berusia 18 tahun, namun di rumah, kami bercakap dalam bahasa Melayu. Jarang nak cakap bahasa cina. Sampailah saya dan bernaung di bawah Warner dan perlu asah lagi bahasa ini.
“Album yang dihasilkan pun adalah dalam bahasa Mandarin. Namun di dalamnya, terdapat dua lagu bahasa Melayu yang berjudul Lakaran dan Cintamu Di Hatiku. Boleh dikatakan, saya ini sebelah kaki berada di dalam industri muzik Melayu dan sebelah lagi Cina.
“Alhamdulillah, saya diterima baik dalam kedua-duanya meskipun pada awalnya tidak mudah juga. Sebabnya, bahasa Mandarin saya adalah bahasa pasar. Jadi saya kena asah lagi kemahiran yang lebih formal,”katanya.
Bagaimanapun, kata Layla, dia tidak menolak bahawa sekiranya seseorang itu berkemampuan menguasai bahasa asing, ia dapat memberi kelebihan buat diri sebagaimana yang dilaluinya.
“Saya akui, bila berkemahiran berbahasa Cina ini, saya terdedah dengan banyak peluang. Alhamdulillah, filem pertama yang saya dapat pun disebabkan saya boleh berbahasa Cina.
“Baru-baru ini, saya dapat nyanyikan lagu tema sebuah festival masyarakat Cina pun kerana sebab yang sama. Jadi, saya bersyukur kerana ibu dan ayah telah menghantar saya ke sekolah Cina dari kecil,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia bercadang untuk menyertai sebarang pertandingan realiti demi memastikan namanya semakin menyerlah dalam industri seni, kata Layla, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu kemestian.
Bagi anak sulung daripada empat beradik ini, dia tidak mempunyai semangat dan keyakinan untuk bersaing kerana jiwanya bukan seorang ‘pejuang’.
“Saya sudah pernah sertai program Big Stage, tetapi sekarang kalau orang ajak sertai mana-mana pertandingan lain, saya rasa belum bersedia. Sebabnya, saya rasa, diri ini tak ada semangat lawan.
“Mungkin juga sebab saya tak yakin dan bukan jenis orang yang suka bersaing. Saya lebih percaya pada kata ‘kita naik sama-sama’ selain percaya pada rezeki yang telah ditentukan oleh Allah SWT,”katanya.