SEPANG: Penduduk Taman Jenderam Budiman, Kampung Jenderam Hulu di sini, diarah segera membersihkan halangan di atas laluan rizab jalan bagi membolehkan penduduk berhampiran mendapat akses ke jalan utama.
Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai aduan seorang pemilik tanah berhampiran taman perumahan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah respon terhadap aduan pemilik tanah itu, malah satu surat arahan sudah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Sepang pada 26 Jun lalu supaya halangan itu dibersihkan.
“Kami memberi tempoh selama 30 hari bermula tarikh surat itu bagi membolehkan penduduk taman itu membersihkan kawasan berkenaan.
“Selain itu, saya juga telah menghantar pegawai bagi meneliti masalah berkenaan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai aduan yang dihantar,” katanya.
Katanya, kegagalan pihak yang bertanggungjawab melakukan arahan itu boleh diambil tindakan dengan peruntukan di dalam Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, pesara swasta dikenali Ahmad Man, 68, mendakwa penduduk taman itu menghalangnya untuk membina laluan keluar menghubungkan tanah miliknya.
Malah, katanya, penduduk berkenaan membina halangan termasuk memasang pagar besi, meletakkan tong drum berisi simen dan menggali parit yang luas di laluan sambungan itu bagi menghalang kenderaan memasuki tanahnya.
“Laluan itu adalah satu-satunya jalan keluar yang menghubungkan tanahnya dengan jalan besar. Saya hairan kenapa mereka (penduduk) menghalangnya sedangkan laluan itu bukan terletak atas tanah persendirian sebaliknya tanah rizab jalan,” katanya.
Selain itu, Ahmad memaklumkan, dia telah menemui Pegawai Penguatkuasa (Siasatan) Pejabat Daerah dan Tanah Sepang untuk mengetahui hasil siasatan namun, hingga ke hari ini halangan itu belum diubah walaupun sudah melepasi masa sebulan yang diberikan. – UTUSAN