Berterus-terang sejak dari awal mengenai hubungannya dengan pelakon, Keith Foo, Riena Diana, mengakui, dirinya juga tidak terlepas daripada pelbagai pertanyaan, mengapa memilih seorang lelaki berstatus duda sebagai teman istimewanya kini.
Bukan apa, ramai sahaja tahu bahawa sebelum ini bekas kekasihnya merupakan seorang lelaki bujang dan kini cintanya beralih arah kepada Keith yang juga merupakan bapa kepada seorang cahaya mata, hasil perkahwinan terdahulunya dengan Kim Raymond.
Tenang memberikan jawapan, kata pelakon ini dan pengacara ini, dia tidak pernah merancang untuk menentukan hala tuju peribadinya atau dengan siapa dia akan berkawan dan berdampingan.
Baginya, semua ini merupakan ketentuan Tuhan. Namun, entah mengapa, dari satu sudut hati, Riena mengakui, menjalin hubungan cinta dengan lelaki berstatus duda adakalanya lebih mudah berbanding dengan si bujang.
“Jodoh pertemuan bukankah di tangan Allah. Mungkin bukan Keith, mungkin juga saya ditakdirkan dengan orang lain, kita semua tidak tahu. Namun, iya, mungkin berkawan dengan lelaki berstatus duda ini lebih senang.
“Maklum sahajalah, saya ini masih muda, susah dikawal. Lagipun macam orang cakaplah, lelaki duda ini berpengalaman. Dia tahu macam mana nak kawal saya. Malah, saya pun lebih suka orang yang berpengalaman.
“Bagi saya, berkawan dengan lelaki lebih berumur ini lebih senang,”katanya tertawa.
Meskipun begitu, kata Riena, dia sedar, tidak semestinya dia perlu mengikut alur harapan orang ramai untuk segera mendirikan rumah tangga kerana setiap orang mempunyai laluan masanya sendiri.
Tambahan pula, kata Riena, antaranya dengan Keith, kedua-duanya saling mahu meneroka potensi diri dalam bidang seni. Maka, mungkin alam perkahwinan bukan untuk mereka sekurang-kurangnya buat masa ini.
“Kalau ditanya sama ada saya ini takut atau tidak untuk memasuki alam perkahwinan, ya, mungkin juga. Saya sendiri pun datang dari sebuah keluarga yang pincang, mak ayah bercerai. Namun, itu bukan alasan untuk saya tak mahu berkahwin.
“Keith pun, kalau betul dia pilih saya sebagai isterinya, ia bukan perkahwinan pertamanya. Namun, dia pernah cakap yang dia tak mahu bermain-main. Jadi, kita sama-sama belajar daripada apa yang pernah kita berdua lalui.
“Kalau boleh, saya pun mahukan sebuah keluarga yang sempurna walaupun tahu, tak ada apa yang sempurna di dunia ini. Namun tidak salah mencuba. Sebab itu, kena fikir betul-betul sebelum nak kahwin,”katanya.
Tak boleh bimbing?
Selain itu, pelakon drama Kampung People dan Cinta Buat Dara ini berkata, dia juga sedar ada kalangan peminat mempersoalkan sejauh mana kemampuannya dapat membimbing Keith dari aspek agama Islam sekiranya benar kedua-duanya ingin melanjutkan hubungan ke fasa perkahwinan.
Bagi Riena, dia tidak pernah memberi tekanan kepada Keith untuk mendalami agama Islam kerana tahu, semua itu tidak boleh dipaksa-paksa.
“Kami berdua tak ada sangat perbualan mengenai hal ini (agama). Tetapi, kalau nak tahu, Keith sejak dari kecil sudah berkawan dengan orang Melayu. Setakat perkara asas, dia memang dah tahu dan tak ada masalah sangat.
“Yang penting, dia ada keinginan untuk belajar. Sebab itu, sekarang pun saya tak ada nak beri tekanan kepada dia, biarkan sahaja. Perkara ini tak perlu dibuat-buat, ia akan datang dengan sendirinya,”katanya.
Percaya bahawa hidayah milik Allah, Riena juga sedar tidak sesuai untuknya bercakap mengenai perkara ini untuk mewakili Keith.
“Kita pun tidak tahu, entah-entah, selepas ini, dia jadi lebih bagus dalam bab agama berbanding kita, mana tahu bukan?
“Walaupun mungkin dia bukan masuk Islam disebabkan saya, boleh jadi dia lakukan untuk diri sendiri. Lagi pula, keluarga dia sendiri kebanyakannya mualaf. Kakak dan abangnya juga kini beragama Islam, jadi ia bukan satu perkara asing dalam keluarga dan juga buat dirinya,”katanya.
Bagaimanapun, kongsi Riena, ada perkara yang membuatkan dirinya berasa geli hati dengan Keith sepanjang proses mengenali dan mendalami agama Islam.
“Sebagai contoh, dia dalam fasa suka mendengar ceramah agama, tetapi dia sebut khutbah. Lagi satu, dia suka bersedekah di masjid. Bagi saya, itu satu tindakan yang baik,”katanya.