Lagi kes peserta RX-Z Members ditipu 'scammer' inap desa - Utusan Malaysia

Lagi kes peserta RX-Z Members ditipu ‘scammer’ inap desa

SEBAHAGIAN daripada peserta yang hadir pada Program Himpunan RX-Z Members 6.0 di Kuala Nerus, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang peserta Program Himpunan RX-Z Members 6.0 dari Maran, Pahang rugi RM350 setelah tertipu ‘scammer’ rumah inap di sini, semalam.

Difahamkan kira-kira tiga kes berhubung kejadian sama yang menimpa peserta program himpunan tersebut telah dilaporkan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa ditipu ketika berada di daerah ini bagi program himpunan berkenaan.

Beliau berkata, pembantu kedai makan itu ternampak iklan terbabit ketika mencari bilik penginapan di Facebook pada Jumaat sebelum membayar RM350 keesokan hari.

“Mangsa membuat bayaran tempahan secara dalam talian pada pukul 8.43 malam pada Sabtu lalu pergi ke alamat yang diberikan suspek.

“Namun sebaik tiba, rumah berkenaan adalah berpenghuni dan pemiliknya menafikan ada menawarkan perkhidmatan rumah inap di Facebook.

“Pemuda berusia 25 tahun itu kemudian membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azli menambah, mangsa yang menerima nasib sama dinasihatkan membuat laporan polis dengan segera untuk tindakan lanjut.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan hasrat sekumpulan penunggang motosikal RX-Z dari Negeri Sembilan untuk menyertai program himpunan itu bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ‘scammer’ inap desa.

Salah seorang peserta konvoi tersebut, Adli Ismail, 31, berkata, dia terkejut apabila mendapati rumah inap desa itu yang telah ditempah bulan lepas melalui Facebook telah diduduki peserta lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN