Lagi kejadian pokok tumbang di Pulau Pinang

Lagi kejadian pokok tumbang di Pulau Pinang

SEBUAH kereta mengalami kerosakan selepas dihempap oleh sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Pulau Pinang pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Angin kencang yang melanda Pulau Pinang sejak awal pagi tadi mengakibatkan berpuluh kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di bahagian pulau dan Seberang Perai, di sini.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini akibat kejadian berkenaan.

Antara kawasan yang terlibat kali ini ialah di Paya Terubong, Relau, Bukit Jambul, Pulau Tikus, Bayan Baru dan Butterworth.

Selain itu, turut dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang menimpa sebuah kereta jenis Honda di Jalan Siram, Butterworth.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut yang merupakan seorang wanita dilaporkan telah keluar dari kenderaan sebelum pihak bomba tiba dan tiada kecederaan berlaku.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng, terdapat 13 kes dilaporkan sekitar Pulau Tikus dan kawasan Georgetown sehingga pukul 9.50 pagi ini.

“Dahan besar daripada pokok tua yang besar telah patah di depan pusat khidmat kami sebentar tadi. Papan tanda di kedai sebelah habis musnah. Nasib baik tiada siapa yang cedera,” katanya.

Tambah beliau, pada Mei lalu apabila pokok besar tumbang di Jalan Macalister, pihaknya telah memohon MBPP untuk mengadakan satu pelan pengurusan pokok yang agresif untuk mengurungkan insiden pokok tumbang.

”Dengan itu, pihak MBPP telah menyemak dan merawat beberapa ratus batang pokok tua yang besar oleh pakar arborist. Sebanyak 30 batang pokok besar telah pun ditebang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pokok tua yang besar adalah berbahaya dalam kawasan populasi bandar yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

“Dulu, pihak MBPP telah dipujuk oleh beberapa NGO ‘hijau’ dan pihak parti lawan untuk memelihara pokok-pokok tua yang besar. Ini adalah satu kesilapan,” katanya yang memberitahu, Pulau Pinang memerlukan konsep ‘bandar hijau’ yang selamat tanpa pokok tua yang besar yang memberi ancaman bahaya kepada manusia dan harta benda.

Terdahulu, dalam kejadian kelmarin, kira-kira 79 kes pokok tumbang direkodkan oleh MBPP khususnya di kawasan pulau akibat hujan lebat dan angin kencang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN