Kutipan zakat Selangor capai 60 peratus sasaran - Utusan Malaysia

Kutipan zakat Selangor capai 60 peratus sasaran

Kutipan zakat
MOHD. Sabirin Mohd. Sarbini dan Fakhrunniam Othman (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis FGV Seikhlas Hati dekat Masjid Taman Subang Perdana di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kutipan zakat di negeri ini sehingga bulan lalu mencapai tahap 60 peratus berbanding sasaran RM1.2 bilion pada tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, pihaknya optimis sasaran tersebut mampu dicapai hujung bulan Disember nanti.

“Kita mempunyai dua musim puncak pembayaran zakat iaitu pada bulan Ramadan dan bulan Disember.

“Kita melepasi bulan Ramadan, alhamdulillah melebihi 60 peratus (daripada sasaran) dan untuk makluman semua kutipan tertinggi (secara rutinnya) adalah pada bulan Disember,” katanya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, beliau menerima bayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV) berjumlah RM344,412 yang diwakili Pengarah Kumpulan Bahagian Logistik & Perniagaan Sokongannya, Fakhrunniam Othman pada Majlis FGV Seikhlas Hati.

Mohd. Sarbini menambah, bagi memastikan sasaran tahunan tersebut mampu dicapai, pihaknya menyeru lebih banyak syarikat membuat pembayaran awal tanpa menunggu saat akhir hingga hujung tahun.

Sementara itu, dalam majlis tersebut beliau memaklumkan selain pembayaran zakat perniagaan oleh FGV, melalui dana wakalahnya turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM120,000 bagi menyantuni seramai 200 keluarga asnaf fakir dan miskin bagi Daerah Petaling.

“Menerusi sumbangan tersebut, setiap keluarga akan menerima wang tunai sebanyak RM550 dan barangan makanan bernilai RM50.

“Semoga lebih banyak syarikat tampil untuk bersama LZS atau institusi zakat lain bagi melaksanakan program seperti ini agar dapat merapatkan ukhuwah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN