KUSKOP peruntuk dana tambahan RM6 juta untuk I-BAP - Utusan Malaysia

KUSKOP peruntuk dana tambahan RM6 juta untuk I-BAP

Dana I-BAP
R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan tambahan dana RM6 juta bagi program Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP) untuk membantu usahawan dalam kalangan komuniti itu.

Timbalan Menterinya, Datuk R. Ramanan berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui SME Corp. khusus untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) milik usahawan India.

“I-BAP menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan dari RM5,000 sehingga RM100,000 bagi tujuan meningkatkan kapasiti dan keupayaan serta prestasi perniagaan dan produktiviti PMKS.

“Ini merangkumi perbelanjaan untuk perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta kecekapan pengeluaran, pensijilan produk, adaptasi Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan e-Dagang, penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pelaksanaan kempen pemasaran serta promosi,” katanya ketika melawat Renewcell (M) Sdn. Bhd., hari ini.

Beliau menambah, peruntukan khusus tersebut adalah usaha berterusan kerajaan untuk merealisasikan matlamat kerangka Ekonomi MADANI bagi mencapai pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan.

“Saya gembira melihat syarikat seperti Renewcell (M) Sdn. Bhd. yang saya lawati hari ini dapat memanfaatkan bantuan yang diberi dan berjaya mengeluarkan produk baharu mereka.

“Namun demikian, ingin saya ingatkan bahawa Perusahaan Kecil milikan usahawan India perlu cepat dalam merebut peluang yang ditawarkan menerusi program I-BAP ini kerana dana adalah terhad dan hanya permohonan yang memenuhi semua syarat kelayakan ditetapkan sahaja boleh dipertimbangkan,”ujarnya.

Katanya lagi, bagi perbelanjaan yang tidak dapat dipertimbangkan di bawah I-BAP, PMKS juga mempunyai alternatif pembiayaan lain di bawah SME Corp. Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya