Kursi Syed Husin Ali diwujudkan di UM

Kursi Syed Husin Ali diwujudkan di UM

ANWAR beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Memperingati Prof. Dr. Syed Husin Ali di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Kursi Husin Ali di Universiti Malaya (UM) sebagai mengenang jasa dan sumbangan selain mengkaji secara mendalam pemikiran Profesor Dr. Syed Husin Ali dari segenap sudut melalui karya-karyanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah meminta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berbincang dengan ahli keluarganya bagi memenuhi matlamat serta tujuan itu.

“Saya sudah sampaikan (cadangan) kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk segera mewujudkan dengan persetujuan keluarga Kursi Husin Ali di mana-mana fakulti di UM.

“Kursi itu bukan sekadar membicara sosok Husin tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk. Kemiskinan dan sejarah rakyat yang sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa.

“Saya kebetulan dapat hadam banyak (penulisan) beliau dalam penjara. Hampir semua karya berkaitan feudalisme, kemerdekaan rakyat, itu semua dikirim dan diseludup ke kamar saya di (Penjara) Sungai Buloh dulu,” katanya berucap pada Majlis Memperingati Profesor Dr. Syed Husin Ali di UM, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Anwar turut meluluskan peruntukan RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial UM, bagi keperluan melakukan kajian khusus untuk menilai karya-karya penulisan Husin Ali.

“(Permintaan) Persatuan Sains Sosial untuk penulisan kajian khusus dan kajian boleh diselenggarakan saya akan teliti dahulu, sekarang saya luluskan RM200,000 untuk tujuan tersebut.

“Ia adalah dana untuk Persatuan Sains Sosial sebab kita Kerajaan Madani yang efisien kita boleh luluskan minggu depan,” katanya.
Allahyarham Syed Husin yang juga bekas Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR meninggal dunia di Hospital Selayang pada Jun lalu, pada usianya 88 tahun.

Syed Husin memulakan perjalanan politiknya dengan menjadi ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1960 sebelum bintangnya bersinar dan berjaya menjawat jawatan presiden parti itu pada 1990 hingga 2001 sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (keADILan) pada Ogos 2003 dan membentuk Keadilan.

Syed Husin yang dipilih DUN Selangor bagi tempoh 2009-2015 sebagai Senator Dewan Negara, sudah menghasilkan pelbagai buku antaranya Social Stratification in Kampung Bagan (1966), Malay Peasant Society and Leadership (1975), Kemiskinan dan Kelaparan Tanah di Kelantan (1978), The Malays, Their Problems and Future (1981), Poverty and Landlessness in Kelantan, Malaysia (1983), Ethnicity dan Class and Development, Malaysia (1984). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya