Kumpulan penyamun diketuai ‘Wira Tempang’ tumpas - Utusan Malaysia

Kumpulan penyamun diketuai ‘Wira Tempang’ tumpas

Wira Tempang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sekumpulan penyamun diketuai ‘Wira Tempang’ tumpas apabila kesemua mereka ditahan polis selepas menyamun seorang lelaki warga asing dekat Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini pada 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun tersebut kira-kira pukul 9.34 malam daripada mangsa warganegara Bangladesh yang merupakan seorang peniaga.

“Ketika kejadian, mangsa seorang diri berada di pekarangan hadapan Blok E Flat Valencia. Suspek dipercayai beberapa orang lelaki didakwa menyamar sebagai polis bertindak memukul dan merampas wang tunai berjumlah RM7000 serta dua telefon bimbit milik mangsa. Salah seorang daripadanya dikenali dengan nama panggilan ‘Wira Tempang’.

“Bertindak atas maklumat, pada 23 September kira-kira pukul 9.00 malam, lima lelaki termasuk Wira Tempang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut di sekitar bandar raya ini di tahan polis dan dua lagi diberkas di Pelabuhan Klang pada pukul 3 petang, semalam,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Tambahnya, kesemua suspek diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D9 Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama D9 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Kesemua suspek berusia 23 hingga 54 tahun dan mempunyai dua rekod jenayah. Suspek yang dikenali sebagai Wira Tempang berusia 46 tahun bekerja sebagai penarik kereta mempunyai satu rekod jenayah.

“Kesemua suspek dibenarkan mahkamah untuk direman selama tujuh hari sehingga 30 September bagi membantu siasatan. Hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat bukan anggota polis dan tiada penglibatan anggota polis dalam kejadian itu,” jelasnya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan sebatan.

“Siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan sekiranya mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nawintran Selvaraja di talian 016-2052314,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN