KLANG: Kualiti air di Selangor diunjurkan semakin menurun apabila kandungan sumber semula jadi dan sisa buangan masing-masing berada pada tahap 50 peratus yang mengalir dalam setiap tujuh lembangan sungainya.
Ia diunjurkan sedemikian berdasarkan faktor peningkatan jumlah populasi dan aktiviti di negeri ini termasuk perindustrian yang akan menyebabkan pelepasan sisa lebih banyak ke dalam sungai setiap hari.
Hal tersebut jika tidak dibendung, ia bakal menjejaskan sumber air bagi lebih sembilan juta penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan negeri ini sama ada berlaku peningkatan kos untuk merawat air menggunakan kaedah lebih intensif atau mendapatkannya dari tempat lain.
Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Hasrolnizam Shaari berkata, perbandingan tersebut dibuat menerusi kumulatif taburan hujan setiap turun di negeri ini secara purata pada kadar 2,200 milimeter (mm) yang menghasilkan 6 bilion meter padu setahun.
“Anggarannya setiap hari, kita ada 17,000 meter padu sehari dan 5,000 kita sudah gunakan untuk penghasilan air terawat, bakinya tinggal dalam 10,000. Jadi, dalam 10,000 air semula jadi itu, kita buang semula 5,000 yang sudah dirawat.
“Jadi, dari situ kita dapat anggaran, hampir separuh atau mungkin di kawasan tertentu lebih 50 peratus adalah air sisa yang ada dalam aliran sungai,” katanya ketika ditemui di Rumah Pam Loji Rawatan Air Top Glove Sdn. Bhd. (Top Glove), semalam.
Terdahulu, beliau bersama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin menyerahkan lesen Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) pertama di Selangor kepada Top Glove sejak ia diwartakan pada 20 Jun lalu.
Tambah Hasrolnizam, ZDP adalah penting sebagai langkah mitigasi untuk mengurangkan pembuangan sisa ke dalam sungai dan kesannya dengan mengambil kira keperluan mengawal sumber air bersih.
“Memang air sungai kita hari ini turut mengandungi air sisa yang dibuang, kalau tidak mengambil pendekatan untuk mengawal kemasukan-kemasukan berterusan itu, kemungkinan dengan pertambahan populasi serta aktiviti termasuk industri jumlahnya makin bertambah. Jadi, mungkin aliran dalam sungai nanti dominannya adalah air sisa.
“Kedua, kualiti, yang mana minoriti air yang tinggal itu tidak mampu lagi untuk memulihkan sendiri, rawatannya. Itu yang kita lihat kualiti air semakin menurun, fizikalnya semakin berubah mungkin berwarna, berbau atau sifatnya akan banyak mendapan-mendapan.
“Sebab itu kita kena mulakan segera supaya air yang ada dalam sungai, biarlah sebahagian besarnya atau keseluruhannya adalah, pertama air semula jadi atau dibuang yang ke sungai adalah kualiti airnya bersih,” jelasnya.
Tambah beliau, LUAS mengharapkan kualiti sisa air yang dilepaskan ke dalam sungai seperti ditunjukkan oleh Top Glove iaitu sudah jernih.
“Air sebegitulah kita harap dibenarkan dibuang sebagai sisa ke dalam sungai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jamaliah ketika ditemui dalam program sama menegaskan, pemain industri perlu memastikan keseimbangan antara penjanaan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan pelaksanaan ZDP adalah langkah bagi memastikan kemampanan pada masa depan.
“Ini merupakan pelaburan jangka panjang kerana syarikat-syarikat di Eropah pun dan sebagainya akan melihat mana syarikat yang mempraktikkan ESG dan SDG. Sekiranya syarikat itu mempunyai portfolio yang lebih baik, mereka mungkin mempunyai ruang yang lebih besar untuk bekerjasama dengan syarikat mementingkan aspek tersebut.
“Jadi, pada masa hadapan kita harus berfikir untuk jangka masa lebih panjang kerana dengan pelaburan dalam ESG, SDG terhadap alam sekitar barulah kita boleh bertemu peluang yang lebih ke hadapan,” katanya.
Kelmarin, beliau menjelaskan pewartaan ZDP pada 20 Jun lalu itu meliputi 13 aktiviti kilang termasuk perindustrian, akuakultur, perlombongan, kerja tanah serta ternakan ruminan dan sehingga kini hanya 215 daripada lebih 30,000 kilang berdaftar memohon lesen itu dengan LUAS sehingga Selasa lalu.
Jelasnya, denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara akan dikenakan terhadap premis terutama kilang di Selangor yang tidak mendapatkan lesen di bawah peraturan baharu Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).
Tindakan tegas mulai Januari tahun depan itu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembangunan Air Kembalian, Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024. – UTUSAN
Info:
Tujuh lembangan sungai atau sungai utama di Selangor
Jumlah cabang sungai sehingga 2017 (rekod LUAS): 631
Panjang sungai keseluruhan: 3,420.24 km.
- 184 cabang sungai di Lembangan Sungai Langat sepanjang 1,056.88 km
- 156 cabang sungai di Lembangan Sungai Klang sepanjang 485.05 km
- 137 cabang sungai di Lembangan Sungai Bernam sepanjang 863.69 km
- 89 cabang sungai di Lembangan Sungai Selangor sepanjang 748.61 km
- 53 cabang sungai di Lembangan Sungai Buloh sepanjang 161.64 km
- 6 cabang sungai di Lembangan Sungai Tengi sepanjang 78.91 km
- 6 cabang sungai di Lembangan Sungai Sepang sepanjang 25.46 km