KPT serah polis jika ada pensyarah, pelajar terlibat GISBH - Utusan Malaysia

KPT serah polis jika ada pensyarah, pelajar terlibat GISBH

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) bergambar dengan bakal mahasiswa IPTA yang menerima WPP di Seri Manjung, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada pihak berkuasa khususnya polis untuk menyiasat jika ada pensyarah, kakitangan atau pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini terlibat dengan aktiviti salah melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata apabila pihak polis menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat syarikat tersebut, ia melibatkan siasatan yang menyeluruh.

“Apabila siasatan menyeluruh ini dilakukan, ia sebenarnya melibatkan semua pihak termasuk sama ada pensyarah atau pelajar (IPT)( jika ada terlibat),” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN peringkat daerah Manjung di Seri Manjung, di sini hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, semua pihak harus menyerahkan kepada pihak berkuasa terlibat untuk melakukan tanggungjawab mereka bagi menyiasat sebarang kaitan dengan syarikat tersebut.

Sejak 10 September lalu, polis melakukan operasi dikenali sebagai Op Global bagi menyelamatkan kanak-kanak dipercayai teraniaya termasuk daripada segi seksual di rumah perlindungan dipercayai milik GISBH.

Siasatan lanjut kemudian mempercayai syarikat tersebut yang dibangunkan oleh bekas ahli kumpulan yang diharamkan iaitu al-Arqam, disyaki masih mengamalkan ajaran menyalahi syariat Islam termasuk memuja bekas pemimpinnya, Allahyarham Ashaari Muhammad yang lebih dikenali sebagai Abuya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN