KPT sambut baik usaha IPT wujudkan fakulti AI

KPT sambut baik usaha IPT wujudkan fakulti AI

Zambry (tengah) ketika merasmikan Kongres GTEST 2024 anjuran UniMAP di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong usaha institut pengajian tinggi (IPT) dalam meneroka dan mewujudkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) selaras agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau yakin pendekatan baharu yang ditekankan iaitu setiap universiti memiliki program unggulan (signature program) bertaraf global itu dapat dilaksanakan.

Katanya, ini kerana, ia adalah salah satu daripada program pengantarabangsaan dalam dasar pendidikan tinggi negara dan kementerian mahu meletakkan universiti tempatan di posisi terbaik di peringkat antarabangsa.

“Seperti yang kita sedia maklum, kita telah melancarkan fakulti AI sebelum ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), namun, kita tidak menghalang universiti-universiti yang mempunyai kepakaran untuk meneruskannya.

“Kalau sebelum ini terdapat universiti yang mempunyai kemahiran dalam bidang sains komputer misalnya, tentunya selaras peredaran masa mereka juga perlu membuat perubahan dalam fakulti terbabit.

“Seperti yang disyorkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mahu memiliki fakulti sains komputer dan juga AI, kita tidak ada halangan untuk mereka meneruskan dan mewujudkan fakulti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres ‘Global Trends In Engineering, Science and Technology’ (GTEST 2024) anjuran UniMAP di Bertam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zambry turut memuji usaha UniMAP yang melaksanakan program yang berjaya menghimpunkan lebih 350 delegasi dari seluruh dunia.

“Kita dapat lihat program ini mengumpulkan individu yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan, bukannya semata-mata melaksanakan program yang mereka tidak ada kemahiran di dalamnya.

“Pakar dalam bidang kejuruteraan dan dan pelbagai lagi teknologi lain digabungkan melalui satu konsep baharu iaitu pendekatan antaradisiplin sekali gus membuktikan satu perubahan baharu dalam sistem pendidikan hari ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN