KPM perhebat pembudayaan STEM

KPM perhebat pembudayaan STEM

RUSMINI (dua dari kiri) ketika merasmikan Konvensyen Projek Pendidikan Digital STEM Pulau Pinang 2.0 (PesInPro 2.0) Peringkat Kebangsaan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memperhebat usaha bagi meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selari dengan Dasar Pendidikan Digital Negara ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah KPM Sektor Dasar dan Kurikulum, Dr. Rusmini Ku Ahmad berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuk meningkatkan kerjasama serta penglibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan sama ada agensi-agensi awam dan swasta bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan.

“Saya percaya, melalui penyaluran maklumat yang tepat berkaitan STEM terutamanya dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara berterusan, ia akan memberikan fokus STEM dalam lapangan. Ini seterusnya dapat mencorak pengalaman terus kepada guru dan murid.

“Kita sedia maklum akan kepentingan pendidikan digital dan STEM dalam menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dan berdaya saing di peringkat glokal mahu pun global.

“Melalui pendidikan ini, kita sediakan anak-anak kita dengan ilmu dan pengalaman yang secukupnya agar mereka mampu meneroka dunia luar yang lebih mencabar pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Projek Pendidikan Digital STEM Pulau Pinang 2.0 (PesInPro 2.0) Peringkat Kebangsaan di Seberang Jaya di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Abdul Said Hussain.

Mengulas lanjut, Rusmini berkata, KPM ketika ini juga giat meningkatkan kemahiran golongan pendidik untuk menguasai bidang digital menerusi input Dasar Pendidikan Digital (DPD).

“Guru, murid dan pemimpin sekolah turut menggunakan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) kerana terdapat banyak bahan-bahan digital, pengajaran dan pembelajaran yang boleh mereka kongsi melalui pelantar terbabit,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa KPM memberikan penekanan terhadap penguasaan tiga subjek utama pendidikan iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi menyokong pembangunan negara.

Anwar berkata, penguasaan ketiga-tiga subjek itu amat mendesak berikutan perubahan dalam bidang kurikulum dengan kewujudan cabang baharu seperti AI, transisi tenaga hijau, teknologi digital serta media sosial.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya