KPM nafi wujud politik kepartian di sekolah

KPM nafi wujud politik kepartian di sekolah

WONG Kah Woh (tengah) ketika hadir merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Kedah 2024 di Dewan Perhimpunan Cina di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan Kerajaan Negeri Kedah bahawa wujud politik kepartian dalam sektor pendidikan yang mengekang penganjuran program sekolah di negeri ini.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, sebaliknya penganjuran setiap program sekolah di seluruh negara harus mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian itu.

“Kementerian menegaskan bahawa apabila setiap urusan melibatkan orang kenamaan yang ingin menyertai aktiviti di sekolah, ada garis panduan. Garis panduan ini sudah berkali-kali dijawab di Parlimen kepada mereka yang sering membangkitkan persoalan berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Kedah di Dewan Perhimpunan Cina Kedah di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP mengulas tentang kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang meminta agar Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri menganjurkan program pendidikan untuk memberi manfaat kepada pelajar.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Mohd. Azam Abd Samat mendakwa sebuah program pelajar di sebuah universiti baru-baru ini dijalankan tanpa penyertaan pengetua sekolah terlibat dengan dakwaan atas arahan Jabatan Pendidikan Negeri.

Mengulas lanjut, kata Kah Woh, kementerian berharap semua pihak terlibat mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan demi kepentingan pelajar dan sekolah.

“Saya percaya bahawa garis panduan ditetapkan itu amat jelas dan semua pihak harus mematuhi garis panduan tersebut. Saya memohon pihak kerajaan negeri membaca dengan teliti garis panduan yang ada. Saya berpegang kepada garis panduan itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN