KPM, KPT semak kurikulum elak tindakan ketepi nilai sejarah - TPM - Utusan Malaysia

KPM, KPT semak kurikulum elak tindakan ketepi nilai sejarah – TPM

Kurikulum
AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa menyemak semula kurikulum pendidikan dan pengajian bagi memastikan tiada tindakan mengenepikan nilai dan fakta sejarah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, generasi muda perlu difahamkan dengan fakta sejarah yang betul bagi membolehkan golongan itu memaknai dan menghayati pemahamannya.

“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi harus melihat semula jika kurikulum sejarah sudah dikesampingkan, mereka yang ‘mengkesampingkan’ sejarah ertinya melupakan akar umbi kepada negara ini, apatah lagi akar umbi kepada bangsanya.

“Kita bukan mahu mewujudkan nasionalisme sempit dalam kalangan kita melalui etnik apa sekali pun, namun paksinya adalah ‘kemalaysiaan’ yang harus menebal jiwanya dalam kalangan kita supaya dihadamkan dan difahami,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024, hari ini.

Tambahnya, selain penyelidikan oleh sejarawan, fakta-fakta sejarah perlu diaplikasikan dalam hidup setiap rakyat negara ini supaya dapat berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan serta mengelak daripada mengulangi kesilapan lampau.

Tegasnya, generasi itu juga perlu memiliki kesedaran terhadap sejarah yang bukan sekadar mengetahui perjuangan kemerdekaan negara, namun memastikan masa kemerdekaan terus diisi dari semasa ke semasa.

“Jika rakyat khususnya generasi muda tidak kenal tanah airnya sendiri, tidak kenal sejarah negaranya sendiri mana mungkin wujud perasaan hormat, cinta dan taat setia kepada negara, pastinya keadaan itu akan bertambah parah apabila wujud krisis identiti dalam kalangan generasi muda sehingga mereka tidak memahami siapa diri mereka.

“Saya amat yakin sekiranya generasi muda yang bakal mewarisi generasi kini untuk mendepani permasalahan negara pada masa akan datang dipupuk dengan pengetahuan sejarah yang terbaik insya-Allah negara ini akan terus mara menjadi sebuah negara yang maju, dengan kehidupan yang makmur dengan kepelbagaian, kemajmukan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya