KPM bantu pendidikan kanak-kanak terjebak, sedia modul khas

GISBH: KPM bantu pendidikan kanak-kanak terjebak, sedia modul khas

FADHLINA Sidek (tengah) melihat murid mencuba alatan sains yang terdapat di Pusat Kegiatan Guru Tanjong Karang di Kuala Selangor, semalam. – UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Pendidikan akan membantu kanak-kanak terlibat dalam organisasi Global Ikhwan Ser­vices and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dengan menekankan pembelajaran pendidikan Islam termasuk menyediakan modul khas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan membuat penilaian latar belakang, psikologi dan pendidikan yang pernah diterima kanak-kanak itu bagi menentukan jenis pendidikan diberikan kepada mereka.

“Selepas penilaian dibuat secara berfasa, kita tentukan sama mereka boleh bersekolah di arus perdana (sekolah kebangsaan) atau membuat satu modul khas pendidikan.

“Selain pendidikan Islam, kita akan lihat semua aspek seperti literasi, numerasi, psikososial dan keseluruhan aspek akademik mereka,” katanya selepas menghadiri program Powering Knowledge STEM Hub di sini, semalam.

Terdahulu, polis melalui Operasi (Op) Global dilapor menyelamatkan 402 kanak-kanak, iaitu 201 lelaki dan 201 perempuan yang berumur setahun hingga 17 tahun.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata, kementeriannya mengalu-alukan usaha yang dilakukan Petronas melalui Yayasan Petronas bagi memperkasa mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan harapan dapat menarik lebih ramai murid mengambil mata pelajaran itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

Sementara ittu, beliau berkata, kementeriannya akan melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada murid di seluruh negara yang tidak dapat ke sekolah akibat banjir di kawasan kediaman mereka.

Katanya, langkah tersebut bagi membolehkan pembelajaran murid berkenaan diteruskan sekali gus pengajian mereka tidak ketinggalan dengan murid lain.

“Murid yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) akan mengikuti pembelajaran secara dalam talian yang dikendalikan guru mereka.

“Jadi, banjir bukan lagi penghalang bagi anak-anak meneruskan pembelajaran mereka. KPM sentiasa bersedia membantu mereka untuk sebarang keadaan sekalipun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN