KPKM pantau bencana banjir di utara Semenanjung

KPKM pantau bencana banjir di utara Semenanjung

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM di peringkat Pusat, negeri dan daerah bagi memantau situasi banjir di kawasan terlibat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri itu akan memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi untuk mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara ketika bencana berlaku.

“KPKM juga telah mengarahkan KPKM Inc. untuk mengadakan libat urus bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Langkah itu dilakukan bagi memastikan maklumat berhubung penyelarasan bencana banjir sentiasa dikemaskini dan disampaikan kepada kumpulan sasar.

“KPKM juga bersedia menggerakkan aset bagi membantu usaha-usaha menyelamat semasa banjir sekiranya perlu dan mendapat kebenaran daripada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohamad Sabu, berdasarkan laporan awal, seluas 5,822.59 hektar tanaman padi telah ditenggelami banjir dan anggaran nilai kerugian hasil padi adalah sebanyak RM32 juta.

“Dalam usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang terkesan bencana, KPKM menyediakan bantuan-bantuan pasca bencana kepada warga yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi aktiviti agromakanan selain tanaman padi,” jelasnya.

Tambahnya, AgroBank turut mengumumkan tawaran moratorium kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir yang berlaku sekarang ini.

“Para petani, penternak, nelayan dan usahawan yang terlibat boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan ini di cawangan AgroBank yang terdekat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN